Iran ubah Israel jadi Gaza hanya permulaan malapetaka

MERAK Jalanan sebetulnya berdebar melihat situasi perang Iran-Israel. Lebih mendebarkan kalau Amerika Syarikat ikut berperang. Dua lagi kuasa besar, China dan Rusia kelihatan menyokong Iran. Pemimpin Korea Utara pula beri amaran akan bertindak jika Iran diserang.
Mengikut penganalisis pertahanan AS seperti Mark Montgomery dan James Anderson, setiap perang besar hampir pasti akan terjadi akibat ketegangan antara lima kuasa nuklear iaitu AS, Rusia, China, Korea Utara dan Iran.
Jika perang dunia terjadi, kesannya akan jadi malapetaka besar. Walaupun jarak di antara Kuala Lumpur ke Teheran lebih 6,300 kilometer atau 11 jam penerbangan, impaknya boleh sampai ke Malaysia pada bila-bila masa. Kajian oleh Universiti Rutgers di AS sebelum ini anggarkan lebih lima bilion orang iaitu 63 peratus populasi dunia akan mati kebuluran sekiranya perang nuklear berlaku.
Merak Jalanan tahu ramai yang bersorak bila peluru berpandu Iran berjaya menghentam wilayah Israel. Malah menerusi rakaman video dan gambar-gambar, kemusnahan yang dialami Israel tidak ubah seperti di Gaza. Ini bukan gambar rekaan AI, tapi disiarkan sendiri oleh agensi berita antarabangsa.
Kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin selama lebih 620 hari seolah-olah terbalas hanya dalam beberapa malam oleh Iran.
“Mereka mengubah kita menjadi Gaza!!!” tulis seorang warga Israel di X, yang kemudian menjadi tular. Ciapan ini adalah gambaran ketakutan, kemusnahan dan kehilangan. Kehancuran total bangunan kediaman di Gaza dan kematian lebih 55,000 penduduknya setakat ini, kini mula dirasai oleh rakyat Israel sendiri.
Meskipun begitu, Merak Jalanan harap perang besar dapat dielak. Ia hanya akan membawa derita dan sengsara kepada semua orang, baik yang menang atau kalah perang, atau yang tinggal beribu kilometer jaraknya. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!