Iran ancam serang pangkalan AS jika Washington sertai Israel

Ancaman itu muncul ketika Israel didakwa menyerang kemudahan pengeluaran peluru berpandu Iran di selatan Teheran dan mengebom tapak peralatan nuklear Iran dalam serangan awal pagi tadi.

Pasukan penyelamat berdiri di celah runtuhan bangunan yang musnah di Tel Aviv selepas serangan peluru berpandu Iran pada Isnin.
Pasukan penyelamat berdiri di celah runtuhan bangunan yang musnah di Tel Aviv selepas serangan peluru berpandu Iran pada Isnin.
A
A
A

TEHERAN – Iran memberi amaran akan melancarkan serangan balas terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, sekiranya Washington menyertai kempen ketenteraan Israel terhadap fasiliti nuklear Iran, lapor New York Times.

Menurut dua pegawai kanan Iran, sasaran pertama ialah pangkalan AS di Iraq, sebelum diperluas ke negara-negara Arab lain yang turut menempatkan pangkalan tentera Amerika.

Ancaman itu muncul ketika Israel didakwa menyerang kemudahan pengeluaran peluru berpandu Iran di selatan Teheran dan mengebom tapak peralatan nuklear Iran dalam serangan awal pagi tadi.

Presiden AS Donald Trump, yang sedang mempertimbangkan untuk menyokong serangan udara Israel ke atas kemudahan nuklear bawah tanah Fordow, dilaporkan semakin cenderung untuk terlibat secara langsung dalam konflik berkenaan.

Iran turut memberi amaran kemungkinan mereka memasang periuk api di Selat Hormuz, laluan penting eksport minyak dunia, yang boleh menggugat penghantaran global dan menyebabkan harga tenaga melonjak.

Dalam masa sama, kumpulan Houthi di Yemen yang disokong Teheran dijangka menyambung semula serangan peluru berpandu ke atas kapal-kapal perdagangan di Laut Merah.

Sumber ketenteraan AS memberitahu The Telegraph bahawa pesawat kargo tentera AS telah dilihat melakukan penerbangan melintasi Atlantik – petanda persiapan logistik sedang ditingkatkan.

Walaupun konflik ini kurang membawa kematian berbanding jangkaan awal, Trump dikatakan semakin agresif mempertimbangkan penyertaan AS dalam tindakan ketenteraan terhadap Iran.-Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!