Iran tahan lima individu didakwa ejen Mossad

Penunjuk perasaan di Najaf, Iraq mengangkat plakad sebagai tanda sokongan kepada Iran dalam konflik memuncak dengan AS dan Israel. - AFP
Penunjuk perasaan di Najaf, Iraq mengangkat plakad sebagai tanda sokongan kepada Iran dalam konflik memuncak dengan AS dan Israel. - AFP
A
A
A

TEHERAN – Pihak berkuasa Iran menahan lima individu yang disyaki sebagai ejen perisikan Israel, Mossad, atas tuduhan mencemarkan imej Republik Islam itu di ruang siber, menurut laporan media tempatan pada Rabu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengawal Revolusi dan dilaporkan agensi berita Tasnim dan ISNA, kumpulan terbabit didakwa sebagai “tentera upahan” yang cuba menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat serta memburukkan imej sistem suci Republik Islam Iran melalui kegiatan terancang di alam maya.

Kesemua suspek ditahan di wilayah barat Lorestan, ketika konflik antara Iran dan Israel kini memasuki hari keenam susulan siri serangan udara oleh Israel ke atas kemudahan tentera, tapak nuklear dan kawasan kediaman di Iran sejak minggu lalu.

Sebagai langkah keselamatan, Iran turut mengenakan sekatan sementara terhadap akses internet sejak Jumaat lalu, menyebabkan banyak aplikasi dan laman sesawang tidak dapat diakses sepenuhnya.

Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai supaya mengehadkan penggunaan peranti yang bersambung ke internet serta mengambil langkah berjaga-jaga.

Kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan juga telah diarahkan agar tidak menggunakan sebarang peranti pintar termasuk telefon bimbit, jam tangan pintar dan komputer riba sepanjang tempoh serangan udara oleh Israel.

Televisyen rasmi Iran turut menyeru rakyat supaya memadam aplikasi WhatsApp daripada telefon pintar mereka dengan mendakwa aplikasi tersebut mengumpul data peribadi dan lokasi pengguna yang kemudiannya disalurkan kepada “musuh Zionis”. – AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!