Bazar Ramadan bukan tempat uji skil memasak setahun sekali

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi sebelum kita menyambut ketibaan Ramadan, bulan penuh keberkatan.
Beberapa teman Merak Jalanan dan mula rancang misi mahu menyerbu bazar Ramadan untuk mencari juadah berbuka puasa yang turut menjadi tarikan bangsa lain.
Sebut pasal makanan, ada peniaga menjadikan bazar Ramadan test market atau sebagai tempat untuk menguji kebolehan memasak setahun sekali.
Bazar Ramadan kini bukan sekadar tempat menjual juadah berbuka puasa, tetapi juga platform setahun sekali bagi ramai peniaga yang muncul secara tiba-tiba untuk menguji kreativiti dan kemahiran kulinari mereka.
Kita dapat saksikan ‘eksperimen’ pelbagai menu viral dan pelanggan lah jadi ‘bahan kajian’. Sedap atau tidak belakang cerita. Janji orang beratur panjang dan asal laku.
Sesetengah peniaga nampak lebih fokus pada presentation daripada rasa. Itu belum sentuh isu kebersihan dan cara penyediaan makanan.
Merak Jalanan sendiri pernah terbeli nasi yang bila sampai waktu Maghrib dah basi. Tak sempat nak jamah pun untuk berbuka.
Bazar Ramadan sepatutnya jadi tempat orang yang ada kemahiran memasak cari rezeki dan bukannya kepada mereka yang baru berjinak-jinak mahu berniaga demi mengejar viral dan peroleh duit poket untuk raikan Aidilfitri.
Banyak kejadian ayam tak cukup masak, kuah terlalu cair, kuih keras macam batu. Harga tetap premium dengan alasan kos barang naik, namun rasa pula ‘yang menurun’.
Jika mahu uji kebolehan memasak setahun sekali, dapur rumah lebih sesuai. Kawan sekeliling boleh jadi 'mangsa percubaan' dengan rela hati. Bukan orang awam yang berlapar seharian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
