Konflik Israel-Iran: Stok peluru penangkis Israel semakin susut

Sistem pertahanan udara Israel aktif memintas peluru berpandu Iran di Tel Aviv susulan serangan terbaharu pada 16 Jun. AFP
Sistem pertahanan udara Israel aktif memintas peluru berpandu Iran di Tel Aviv susulan serangan terbaharu pada 16 Jun. AFP
A
A
A

TEL AVIV – Israel kini berdepan risiko kehabisan peluru pemintas Arrow yang digunakan bagi menangkis serangan peluru berpandu balistik dari Iran, menurut laporan The Wall Street Journal yang memetik pegawai kanan Amerika Syarikat.

Amaran itu dikeluarkan ketika rejim Zionis sedang menghadapi serangan peluru berpandu secara besar-besaran dari Iran sejak enam hari lalu, susulan konflik berskala penuh antara kedua-dua negara.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) tidak mengesahkan sebarang kekurangan bekalan, sebaliknya menegaskan bahawa sistem pertahanan udara mereka telah berjaya memintas majoriti peluru berpandu yang dilancarkan.

“IDF bersedia dan mampu mengendalikan sebarang senario. Malangnya, kami tidak dapat mengulas isu berkaitan bekalan peluru,” menurut kenyataan tentera.

Namun demikian, laporan dari Amerika Syarikat mendedahkan bahawa Washington telah lama menyedari potensi kekurangan tersebut dan telah memperkukuh pertahanan Israel secara senyap, menerusi bantuan tambahan dari darat, laut dan udara.

Pasukan penyelamat berdiri di celah runtuhan bangunan yang musnah di Tel Aviv selepas serangan peluru berpandu Iran pada Isnin.
Pasukan penyelamat berdiri di celah runtuhan bangunan yang musnah di Tel Aviv selepas serangan peluru berpandu Iran pada Isnin.

Pentagon dilaporkan telah menghantar sistem pertahanan peluru berpandu Patriot dan THAAD, selain kapal pemusnah Tentera Laut AS untuk membantu usaha pemintasan.

Sistem Arrow yang dibangunkan oleh Industri Aeroangkasa Israel memainkan peranan penting dalam memintas peluru berpandu balistik jarak jauh.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, dengan Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dalam beberapa hari lalu – termasuk misil Fattah-1 yang didakwa mampu menembusi sistem pertahanan – tekanan terhadap simpanan peluru Israel semakin meningkat. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!