Letupan kuat gegar timur Teheran, Iran tingkat amaran keselamatan

TEHERAN - Satu letupan kuat dilaporkan berlaku di kawasan timur Tehran malam tadi, mencetuskan kebimbangan baharu di tengah-tengah konflik bersenjata yang semakin memuncak antara Iran dan Israel.
Menurut laporan tempatan, letupan tersebut berlaku berhampiran daerah Hakimiyeh dan Tehranpars, dua kawasan padat penduduk di pinggir timur ibu negara Iran.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Iran mengenai punca letupan, namun pasukan keselamatan telah meningkatkan tahap berjaga-jaga di seluruh bandar.
Letupan ini berlaku hanya beberapa jam selepas serangan udara dilaporkan mengenai Lapangan Terbang Mehrabad dan beberapa lokasi strategik lain di Teheran, termasuk kawasan utara Aghdasieh dan kemudahan berkaitan pertahanan.
Media Iran menyatakan bahawa dua peluru berpandu telah mengenai hangar pesawat pejuang di lapangan terbang tersebut.
Sementara itu, media antarabangsa melaporkan bahawa siren amaran dibunyikan di beberapa kawasan sekitar Laut Mati dan Tel Aviv, menunjukkan kemungkinan serangan balas dari pihak Israel.
Kedua-dua negara kini berada dalam kitaran serangan dan serangan balas yang berterusan sejak beberapa hari lalu.
Pemerhati antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya perang berskala penuh di Asia Barat, dengan Majlis Keselamatan PBB dijangka mengadakan sesi tergempar dalam masa terdekat.- Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
