KPDN bongkar sindiket kasut, selipar tiruan

Mohd Sabri menunjukkan antara kasut dan selipar yang dirampas dalam serbuan dilaksanakan pihaknya sebelum ini.
Mohd Sabri menunjukkan antara kasut dan selipar yang dirampas dalam serbuan dilaksanakan pihaknya sebelum ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran kasut dan selipar tiruan tumpas dalam serbuan membabitkan lapan stor penyimpanan dan dua premis pameran di sebuah kompleks berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada Isnin.

Operasi yang dijalankan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu turut merampas ribuan kasut dan selipar tiruan bernilai hampir RM400,000.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, operasi tersebut dilaksanakan hasil risikan selama tiga minggu dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang.

Menurut beliau, sebanyak 14,300 pasang selipar dan kasut tiruan telah dirampas kerana disyaki menggunakan cap dagangan secara tidak sah mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

“Stok selipar dan kasut tiruan itu dipercayai diperoleh dari luar negara dan disimpan di lapan stor sebelum diedarkan untuk jualan ke seluruh negara.

“Serbuan turut mendedahkan dua lagi premis yang dijadikan bilik pameran pelbagai jenis kasut dan selipar untuk dipilih serta ditempah secara borong oleh peniaga,” katanya dalam sidang akhbar di Segambut, hari ini.

Beliau memaklumkan, kesemua premis tersebut dipercayai beroperasi selama lebih kurang dua bulan dan dimiliki oleh seorang individu warga tempatan.

“Pemilik perniagaan ini menerima tempahan daripada peniaga di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“Dalam operasi ini, seorang lelaki tempatan berusia awal 20-an yang bekerja di premis terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap semua pihak terlibat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) memandangkan nilai rampasan yang tinggi dan penglibatan rangkaian sindiket.

Mohd Sabri turut mendedahkan bahawa sehingga kini sebanyak 64 kes berkaitan harta intelek telah direkodkan KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2025.

“Kes-kes ini direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.5 juta, melibatkan 30,100 unit barangan.

“Seramai 10 individu telah ditahan di bawah Ops Jeriji 6.0 bagi tahun ini atas kesalahan berkaitan harta intelek,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang akan terus dipertingkatkan bagi membanteras penjualan barangan tiruan di pasaran.

“Kerjasama berterusan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar amat dialu-alukan dalam usaha membanteras pengedaran dan penjualan barangan tiruan,” katanya lagi.

Tambah beliau, usaha ini mencerminkan komitmen negara di peringkat antarabangsa selaras dengan penyertaan Malaysia dalam Protokol Madrid yang berkuat kuasa sejak 27 Disember 2019.

“Pengguna dinasihatkan agar tidak menyokong pembelian serta penjualan barangan tiruan, manakala peniaga yang ingkar akan berdepan tindakan tegas serta hukuman berat sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang,” tegas beliau.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!