Kuala Lumpur destinasi utama percutian mikro penginapan semalaman

Kuala Lumpur menduduki tempat teratas bagi destinasi percutian mikro untuk penginapan semalaman di Asia, menurut data tempahan menerusi platform pelancongan digital Agoda bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Kuala Lumpur menduduki tempat teratas bagi destinasi percutian mikro untuk penginapan semalaman di Asia, menurut data tempahan menerusi platform pelancongan digital Agoda bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur, menduduki tempat teratas bagi destinasi percutian mikro untuk penginapan semalaman di Asia, manakala Pulau Pinang berada di tangga kesembilan, menurut data tempahan menerusi platform pelancongan digital Agoda bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengarah Negara bagi Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata, bandar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menawarkan gabungan akses mudah, kekayaan budaya serta kemampuan dari segi kos, menjadikan Malaysia sebagai tumpuan utama serantau untuk pengembaraan jangka pendek.

“Pengembara masa kini mencari kaedah bijak dan fleksibel untuk meneroka, walaupun dalam tempoh masa terhad. Perjalanan mikro membolehkan orang ramai melarikan diri daripada rutin dan meluangkan masa untuk menyegarkan diri tanpa perlu bercuti panjang atau perancangan yang teliti.

“Destinasi seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menunjukkan bagaimana penginapan semalaman boleh menawarkan pengalaman menarik dan tidak dapat dilupakan, sama seperti percutian yang lebih panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut data Agoda, Seoul (Korea Selatan) berada di tempat kedua dalam senarai, diikuti Taipei (Taiwan), Manila (Filipina), Pattaya (Thailand), Jeju (Korea Selatan), Nagoya (Jepun) dan Kaohsiung (Taiwan), manakala Surabaya (Indonesia) menduduki tempat ke-10.

Agoda menggambarkan Kuala Lumpur sebagai destinasi ideal untuk percutian 24 jam bagi melarikan diri daripada kesibukan bandar, dengan menawarkan pelbagai tarikan seperti bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas, pasar malam, serta kepelbagaian budaya makanan jalanan yang meriah dan menarik.

Agoda memaklumkan bahawa perjalanan mikro terus menarik minat pengembara moden yang mencari percutian segera dan menjimatkan kos dengan perancangan minimum. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!