Bot pelancong Langkawi ditahan bawa muatan lebih had

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan dua buah bot pelancong yang disyaki membawa muatan melebihi had yang ditetapkan.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, dua buah bot gentian kaca terbabit bersama dua tekong warga tempatan dan 21 penumpang warga asing ditahan ketika sedang melakukan aktiviti pelancongan.
Menurutnya, kedua-dua bot berkenaan dikesan melakukan kesalahan di bawah Ordinan Saudagar Perkapalan 1952 kerana tidak mempunyai lesen dan membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan mengikut Boat Rules 1953.
“Kejadian disedari ketika rondaan rutin Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op Mardof Utara 1/2025 di kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika barat Tanjung Kemarong pada jam 12 tengah hari, Selasa,” katanya.
Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM236,000 dan kesemua bot berserta barang kes serta kru ditahan untuk siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
“Kami sentiasa komited meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara,” katanya lagi.
Jelas beliau, sekiranya terdapat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

