Amang seksual pelajar: Anak kakitangan pusat tahfiz dikenakan bon berkelakuan baik

Mahkamah turut memerintahkan remaja yang kini berusia 18 tahun itu supaya tidak mengulangi kesalahan sama
Mahkamah turut memerintahkan remaja yang kini berusia 18 tahun itu supaya tidak mengulangi kesalahan sama
A
A
A

AMPANG – Anak kakitangan pusat pengajian tahfiz dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan menjalani bengkel interaktif di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki di pusat tahfiz sama, berusia 13 tahun.

Majistret, Normaizan Rahim memutuskan demikian selepas meneliti laporan akhlak remaja itu yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semasa prosiding jatuh hukum kes.

Mahkamah turut memerintahkan remaja yang kini berusia 18 tahun itu, tidak mengulangi kesalahan sama sepanjang tempoh itu, selain mengenakan wang cagaran RM3,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Majistret, Normaizan mengarahkan penama itu menjalani bengkel interaktif anjuran JKM itu dengan syarat ibu bapanya dikehendaki menemani pesalah semasa bengkel tersebut dijalankan.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani sementara penama itu diwakili peguam, A Rahman Mohd Nasir.

Ketika ditemui di luar mahkamah, A Rahman yang mewakili remaja terbabit berkata, anak guamnya mengakui kesalahan, memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya di masa depan.

“Akibat kes ini, dia mengalami masalah hypertension sehingga terpaksa dirujuk ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani ketika ditemui berkata, pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

“Ketika kejadian, mangsa hanya berusia 13 tahun lapan bulan, mengalami trauma dan menjadi titik hitam trauma seumur hidupnya," kata Norhidayah.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian berusia 17 tahun, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki ketika kejadian berusia 13 tahun di asrama sebuah pusat pengajian swasta pada jam 2.30 petang, pertengahan April 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

https://www.sinarharian.com.my/article/722282/berita/semasa/anak-staf-tahfiz-mengaku-amang-seksual-pelajar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!