'Mungkin saya disalah tafsir' - Pemandu van sekolah lega bebas tuduhan amang seksual

SEREMBAN – Seorang pemandu van sekolah yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dalam kenderaan tersebut, tiga tahun lalu, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan bagi tertuduh, S. Arron, 44, berjaya membangkitkan satu keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
“Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan serta membaca semua hujahan kedua-dua pihak pada tahap penilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan berjaya membangkitkan satu keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dikenakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan dengan memegang dan meramas tangan kanan serta memegang dan menepuk paha kanan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 29 Mac 2022, sekitar jam 6.20 pagi di dalam bas sekolah di Jalan Taman Suriaman 3, Seremban.
Jika sabit kesalahan, pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) AKKSTKK memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni, manakala tertuduh diwakili peguam S. Kartikeyan.
Sepanjang perbicaraan, seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
Sementara itu, Arron ketika ditemui di luar mahkamah meluahkan rasa lega dengan keputusan tersebut dan menyatakan kini beliau dapat menjalani kehidupan yang lebih tenang bersama keluarga.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pemandu van sekolah dan mungkin saya disalah tafsir,” katanya yang sudah 19 tahun memandu van sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

