'Saya akan terus lawan demi maruah anak' – Bapa mangsa amang seksual

SEREMBAN - Selepas tiga tahun berjuang demi anak perempuannya yang didakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh seorang pemandu van sekolah, seorang bapa akhirnya akur dengan keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat yang tidak berpihak kepada mereka.
Lelaki berusia 35 tahun itu mengakui bukan mudah untuk beliau dan isteri menerima keputusan tersebut, apatah lagi memikirkan kesan trauma yang dialami anak mereka akibat kejadian itu.
“Sebelum kejadian berlaku, anak saya yang kini berusia 14 tahun merupakan seorang yang sangat manja, lemah lembut dan ayu.
“Tapi selepas kejadian, perubahannya sangat ketara. Dia menjadi lebih pendiam dan cuba menyerupai lelaki, termasuk memotong rambut pendek,” katanya ketika ditemui di mahkamah pada Jumaat.
Tambahnya, disebabkan perubahan itu, beliau bertekad untuk terus berjuang demi maruah anaknya yang kini dilihat semakin pulih sejak awal tahun ini.
Sebagai seorang bapa, katanya, bukan mudah untuk menghadapi situasi di mana anak sendiri berdepan trauma hingga memerlukan pendekatan yang lebih tegas.
“Jadi saya akan terus lawan demi maruah anak saya, tetapi ia bergantung kepada pandangan Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Saya terima perdamaian dengan dia (bekas pemandu van sekolah), tapi menjadi tanggungjawab saya sebagai bapa untuk menjaga maruah anak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tindakannya untuk mempertimbangkan usaha meneruskan kes itu bukanlah satu bentuk ketidakpatuhan kepada keputusan mahkamah, sebaliknya adalah demi anaknya.
“Saya memandang tinggi institusi kehakiman di Malaysia dan saya percaya TPR telah melakukan yang terbaik, begitu juga hakim. Tapi saya akan teruskan perjuangan jika ada peluang,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pemandu van sekolah yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di dalam kenderaan itu, tiga tahun lalu, telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 29 Mac 2022 sekitar jam 6.20 pagi di dalam bas sekolah di Jalan Taman Suriaman 3, Seremban.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan turut tular di media sosial pada tahun 2022 apabila seorang lelaki memuat naik hantaran di laman Facebook meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pemandu van sekolah yang dinaiki anaknya.
Berdasarkan hantaran itu, pemandu berkenaan pada mulanya didakwa mencubit pipi mangsa dan kemudian semakin berani menepuk paha kanak-kanak terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!