Remaja didakwa bunuh ibu, abang kandung guna pisau lipat

Van polis dipercayai membawa suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 9 pagi di sini, pada Rabu.
Van polis dipercayai membawa suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 9 pagi di sini, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA – Seorang remaja yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan membunuh ibu dan abang kandungnya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, minggu lalu.

Tertuduh, yang hadir berbaju lokap ungu dan kelihatan tenang, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibunya yang berusia 51 tahun dan abang kandungnya berumur 21 tahun.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan RM3, Taman Rambai Mutiara, antara jam 5 pagi hingga 5.30 pagi pada 12 Jun lalu.

Cassian Anthony (dua, kiri) ketika ditemui pihak media di luar mahkamah
Cassian Anthony (dua, kiri) ketika ditemui pihak media di luar mahkamah

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian, manakala tertuduh diwakili peguam Cassian Anthony.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding sama, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan menyebabkan adik lelakinya yang berusia 13 tahun cedera parah dengan menggunakan sebilah pisau lipat, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh turut berdepan pertuduhan bunuh.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Julai depan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa seorang guru dan anak sulungnya berusia 21 tahun dipercayai dibunuh dalam kejadian menyayat hati di Taman Rambai Mutiara.

Mangsa dan anak sulungnya ditemui di ruang tamu rumah, manakala anak lelaki bongsu berusia 13 tahun pula ditemui berlumuran darah di garaj rumah teres setingkat itu.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati tekanan belajar dan sering dimarahi dipercayai menjadi punca suspek bertindak menikam ibu dan abangnya sehingga maut dalam kejadian tragis itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi tersebut, suspek dipercayai masuk ke bilik ibunya yang juga seorang guru dan ibu tunggal, lalu menyerang mangsa sebelum menikam wanita itu menggunakan pisau lipat sepanjang 20 sentimeter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!