Kes langgar mati tiga penuntut UiTM: Pemandu wanita dibenarkan ikat jamin

Selain mempunyai temu janji di sebuah hospital di Kuala Lumpur, Norizan juga sedang mendapatkan rawatan alternatif. Gambar fail
Selain mempunyai temu janji di sebuah hospital di Kuala Lumpur, Norizan juga sedang mendapatkan rawatan alternatif. Gambar fail
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membenarkan seorang pemandu wanita yang didakwa atas pertuduhan membunuh tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam satu kemalangan pada 9 Oktober tahun lepas diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani dalam keputusannya berkata bahawa beliau mendapati hujahan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, iaitu pelanggaran tersebut tidak disengajakan dan tertuduh, Norizan Ismail, 50, turut terbabas ke dalam longkang semasa kejadian, adalah munasabah.

“Seperti nahas kapal terbang, takkanlah juruterbang bawa (pesawat) kerana mahu membunuh orang. Mungkin dia (tertuduh) juga begitu,” katanya.

Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan bagi jaminan tersebut, antaranya tertuduh perlu melapor diri dua bulan sekali di Balai Polis Dungun; tertuduh tidak dibenarkan memandu sebarang kenderaan (kereta, motosikal atau basikal); dan penjamin atau suami tertuduh hendaklah memastikan kunci kenderaan tidak boleh diakses atau diserahkan kepada tertuduh.

Syarat lain ialah tertuduh tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan kehadiran suaminya; hendaklah mendapatkan rawatan di hospital berkaitan; dan tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi yang terlibat dalam kes ini.

Sekiranya tertuduh melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan, jaminan akan terbatal secara automatik dan wang jaminan akan dirampas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris, menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin, namun memohon agar permohonan jaminan ditolak atas alasan mahkamah perlu mengambil kira kemungkinan tertuduh melakukan kesalahan lain.

Sementara itu, peguam Mohd Shahir Mat Jusoh yang mewakili tertuduh memaklumkan bahawa selain mempunyai temu janji di sebuah hospital di Kuala Lumpur, Norizan juga sedang mendapatkan rawatan alternatif.

Pada 15 Oktober 2024, Norizan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh tiga penuntut UiTM iaitu Muhammad Akmal Md Tukirim, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20; mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga didakwa cuba membunuh Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, sehingga menyebabkan mangsa cedera, mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, mahkamah memutuskan agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan psikiatri dan laporan menunjukkan beliau layak untuk dibicarakan. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!