Kerajaan sedia teliti semula peluasan SST - Supol Menteri Kewangan

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil
A
A
A

IPOH – Kerajaan bersedia meneliti semula pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekiranya terdapat kelompongan atau aduan berhubung pelaksanaannya yang memberi kesan kepada rakyat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, meskipun peluasan skop SST akan diteruskan bermula 1 Julai ini, kerajaan tetap terbuka terhadap sebarang cadangan atau maklum balas daripada industri dan orang awam.

“Saya tidak fikir kerajaan akan menutup ruang untuk meneliti semula dasar ini sekiranya ada segmen atau sektor tertentu yang memerlukan pertimbangan semula. Ini bukan undang-undang Tuhan, jadi kalau ada keperluan untuk ditambah baik, maka sewajarnya ia diteliti.

“Tujuan utama peluasan SST ini adalah untuk memperkukuh asas cukai negara yang ketika ini antara yang paling rendah di rantau ini, tanpa membebankan majoriti rakyat,” katanya kepada pemberita.

Muhammad Kamil (kanan) menyerahkan sumbangan daripada Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun kepada Mazlan ketika menziarahi anggota FRU itu di rumahnya di Taman Desa Tambun di sini pada Selasa.
Muhammad Kamil (kanan) menyerahkan sumbangan daripada Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun kepada Mazlan ketika menziarahi anggota FRU itu di rumahnya di Taman Desa Tambun di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Sarjan Mazlan Mat, yang terlibat dalam nahas tragis trak FRU di Taman Desa Tambun, di sini pada Selasa.

Muhammad Kamil menjelaskan, kerajaan memastikan barangan keperluan asas tidak termasuk dalam senarai barangan yang dikenakan cukai, manakala SST hanya dikenakan terhadap barangan tertentu sebagaimana disenaraikan dalam warta kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas kebimbangan mengenai pengenaan cukai terhadap buah-buahan, beliau menegaskan bahawa SST hanya dikenakan terhadap buah-buahan import, bukan hasil tempatan.

“Memang ada keluhan daripada pemain industri tentang kekurangan bekalan buah-buahan tempatan untuk menampung permintaan pasaran. Ini akan diteliti oleh kerajaan.

“Namun, dasar asal tetap tidak mengenakan cukai terhadap barangan tempatan yang tidak diproses atau dikilangkan,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebelum ini yang turut menerima reaksi awal yang bercampur-campur, namun berjaya ditangani selepas pelaksanaan.

“Setiap dasar akan menimbulkan keluhan pada peringkat awal, itu perkara biasa. Tapi akhirnya, kerajaan akan pastikan ia diselaraskan supaya tidak membebankan majoriti rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kekosongan jawatan Menteri Ekonomi yang ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli, Muhammad Kamil berkata perkara tersebut merupakan prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, individu yang bakal menggantikan Rafizi perlu mempunyai latar belakang kukuh serta pengetahuan dalam bidang ekonomi.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!