Altimet yakin kerajaan sedia teliti, tambah baik SST

Altimet
Altimet
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan dilihat bersedia untuk meneliti dan menambah baik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan baru-baru ini sekiranya terdapat kelemahan atau ketidakselesaan dalam pelaksanaannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang pemimpin yang amat prihatin dan tidak akan membenarkan dasar atau langkah kerajaan menekan kehidupan rakyat.

Menurutnya, segala suara, pandangan dan keluhan rakyat tidak pernah diabaikan oleh kerajaan.

"Kerajaan Madani hari ini adalah kerajaan yang mendengar. Dalam usaha untuk menjana pendapatan negara demi masa depan yang lebih kukuh dan berdaya saing, kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan paling seimbang menambah hasil negara tanpa membebankan rakyat.

"Perlu saya jelaskan bahawa SST ini pada asasnya adalah cukai yang bersifat progresif dan tidak menyasar kepada golongan berpendapatan rendah. Ia dikenakan secara terpilih dan saya yakin kerajaan sedia meneliti dan menambah baik dari semasa ke semasa.

"Sebagai contoh, ada kekeliruan berkenaan cukai ke atas buah-buahan import seperti epal dan oren yang sebenarnya kita nikmati setiap hari. Dalam hal ini, saya yakin kebijaksanaan Perdana Menteri akan menyelesaikan kegusaran rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Altimet, beliau yakin kerajaan tetap mengutamakan buah-buahan tempatan sebagai pilihan utama rakyat.

Katanya, peniaga buah-buahan tempatan berpotensi menerima manfaat tidak langsung apabila kebergantungan kepada import mula berkurang.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya, seperti yang selalu berlaku, akan ada solusi yang baik dan adil. SST juga, seperti dasar lain, tidak statik, ia boleh diperhalusi demi kepentingan bersama.

"Akhir kata, marilah kita terus memberi pandangan secara berhemah dan terbuka. Kerajaan Madani bukan kerajaan yang sempurna, tetapi ia adalah kerajaan yang ikhlas berusaha dan sentiasa sedia memperbaiki demi Malaysia yang lebih stabil, makmur dan sejahtera," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!