DPPM Perak sokong peluasan SST 1 Julai nanti

Mohd Zolkafly (dua dari kanan) menyerahkan sijil keahlian ahli bergabung pada Mesyuarat Agung Tahunan DPPM kali ke-12 di Ipoh.
Mohd Zolkafly (dua dari kanan) menyerahkan sijil keahlian ahli bergabung pada Mesyuarat Agung Tahunan DPPM kali ke-12 di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Keputusan kerajaan menyemak peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini dilihat bertepatan dalam meningkatkan hasil negara.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Amirudin Tajudin berkata, struktur cukai yang disemak semula itu menyasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi.

"Secara asasnya kita menyokong kepada perkara yang telah pun diumumkan oleh kerajaan cuma ia melibatkan sektor-sektor yang tertentu sahaja.

"Contohnya sekolah antarabangsa yang melibatkan golongan T20 jadi kerajaan mengenakan SST itu tepat kepada sasaran, mereka-mereka yang berkemampuan.

"Perkara ini tidak melibatkan kepada mereka yang pada peringkat M40 dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Mesyuarat Agung Tahunan DPPM kali ke-12 yang rasmikan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun di sini pada Rabu.

Media melaporkan kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan (C) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat dan kadar sebanyak lima peratus atau 10 peratus dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas.

Artikel Berkaitan:

Skop CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Peluasan ini disertakan dengan pengecualian terpilih untuk mengelak cukai berganda serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kerajaan negeri dan pihak berkaitan perlu lebih kerap duduk semeja kerana situasi ekonomi sekarang sangat mencabar.

"Jika kita dapat bertemu dari semasa ke semasa, banyak isu yang dihadapi oleh para usahawan dapat ditangani dan seterusnya diselesaikan secepat mungkin kerana masa itu emas.

"Jika kita lewat menangani perkara-perkara seperti ini, ia boleh menyebabkan kerugian kepada perniagaan," katanya.

Tambah beliau, kerjasama yang dijalin lebih kerap dan terbuka ia dapat mencapai satu tindakan yang lebih efisien.

"Jika kita hanya berbincang tetapi tiada tindakan diambil maka tiada gunanya. Kita perlu ada keputusan yang membawa kepada penambahbaikan secepat mungkin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!