Kerajaan mungkin semak semula kadar SST buah import - TPM

Ahmad Zahid. Foto Bernama
Ahmad Zahid. Foto Bernama
A
A
A

BANGI – [DIKEMAS KINI] Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menyemak semula kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap beberapa barangan import terpilih termasuk buah-buahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu wajar memandangkan negara tidak mengeluarkan buah tertentu seperti epal dan limau mandarin.

“Saya berpandangan ada kemunasabahan untuk dilihat semula. Kementerian Kewangan sedang melihat perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini pada Khamis.

Ujar beliau, pandangan yang dikemukakan Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed harus dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dengan mengambil kira beberapa keperluan rakyat terhadap buah-buahan import.

“Hasil cukai buah-buahan kepada negara pun tidak begitu tinggi, jadi kalau dikenakan SST, maka harga buah-buahan itu akan meningkat.

“Saya tahu tujuannya adalah untuk melindungi buah-buahan tempatan, tetapi kita tidak mengeluarkan epal dan limau mandarin,” jelasnya.

Terdahulu, Ameer menggesa kerajaan mengecualikan SST terhadap buah-buahan rakyat.

Katanya, langkah kerajaan mengenakan SST terhadap buah-buahan import adalah suatu perkara yang tidak masuk akal kerana ia turut digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peluasan skop cukai perkhidmatan bermula 1 Julai depan sebagai langkah strategik Kerajaan Madani untuk memperkukuh ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!