Lelaki mengaku salah buat hantaran jelik terhadap titah Sultan Perak

Ariff Zulkarnain Ameer (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh.
Ariff Zulkarnain Ameer (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh.
A
A
A

IPOH - Bekas kakitangan syarikat media mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan membuat hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain, Februari lalu.

Tertuduh, Ariff Zulkarnain Ameer Mohd Imam, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan Facebook secara sedar membuat dan memulakan di pautan penghantaran iaitu meninggalkan satu kenyataan di artikel bertajuk 'Khatib enggan baca teks khutbah disediakan keterlaluan, jangan dibiarkan - Sultan Nazrin' yang dimuat siar di akaun Facebook Harian Metro.

Kenyataan itu adalah 'Bila Si fasik berkata2 dan beri nasihat kpd imam2 dan guru agama.. Dah jauh hanyut nampak depan mata. Sungguh meloyakan. Teks yg boleh buat Jemaah tido lena bila dengar' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran itu dibaca pada 25 Februari lalu sekitar jam 5.45 petang di kaunter aduan Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh boleh juga didenda selanjutnya RM5,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.

Terdahulu, tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan memohon satu tempoh masa diberikan bagi membolehkan tertuduh mengumpul dana membayar denda bagi kesalahan tersebut.

Selain itu, pihaknya meminta jumlah jaminan dikurangkan berikutan tertuduh tiada pendapatan tetap setelah dibuang kerja dari syarikat tersebut.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memaklumkan bahawa pihaknya tiada halangan bagi permohonan tersebut sementara mendapatkan tarikh untuk fakta kes dan hukuman.

Beliau turut mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin dan meletakkan syarat supaya tertuduh melaporkan diri ke balai polis terdekat dan menyerahkan dokumen perjalanan ke mahkamah.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Meor Sulaiman membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 30 Julai ini untuk jatuh hukum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!