Lelaki mengaku tidak bersalah menyamar anggota polis

BUTTERWORTH - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis pada Januari lalu.
Tertuduh, Muhammad Ihsan Mohd Kamarun Zaman, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis di tepi jalan susur keluar Sungai Dua dalam daerah Seberang Perai Utara, jam 8 malam pada 29 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 22 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang mempunyai 14 rekod kesalahan lampau ditangkap oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Khas D9 di Jalan Pekan Lama Kuala Ketil, Kedah.
Tangkapan dibuat susulan laporan diterima daripada seorang warga asing yang disamun oleh suspek dengan menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di susur keluar Sungai Dua di sini pada 29 Januari lalu.
Suspek yang menunggang motosikal jenis Honda RSX dikatakan menahan mangsa berusia 40 tahun yang ketika itu dalam perjalanan dari Seberang Jaya menghala ke Sungai Petani, Kedah.
Suspek kemudiannya mengambil beg milik mangsa sebelum cuba melarikan diri.
Difahamkan mangsa sempat bergelut untuk dapatkan semula barang miliknya dan suspek hanya sempat melarikan wang berjumlah RM200.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!