Pesara guru rugi lebih RM216,000 angkara 'phone scam'

Seorang pesara guru rugi lebih RM216,000 selepas terpedaya sindiket phone scam yang menyamar sebagai ejen insurans dan polis. Gambar hiasan (Gambar kecil: Yahaya Othman)
Seorang pesara guru rugi lebih RM216,000 selepas terpedaya sindiket phone scam yang menyamar sebagai ejen insurans dan polis. Gambar hiasan (Gambar kecil: Yahaya Othman)
A
A
A

KUANTAN – Seorang pesara guru berputih mata apabila wang hasil simpanan, ganjaran pencen dan pinjaman bank berjumlah lebih RM216,000 lesap akibat diperdaya sindiket penipuan 'phone scam'.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 62 tahun itu dijerat dengan dakwaan kononnya terlibat dalam kes tuntutan insurans palsu dan pengubahan wang haram.

Menurutnya, kejadian menimpa mangsa bermula pada 31 Januari lalu selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai ejen insurans.

“Mangsa diberitahu terdapat tuntutan insurans palsu berjumlah RM68,000 atas namanya.

“Mangsa yang menafikan kaitannya dengan kes itu telah disambungkan kepada seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, hasil semakan kononnya mendapati mangsa turut dikehendaki atas kes pengubahan wang haram.

“Susulan itu, mangsa diarahkan membuka beberapa akaun bank dan memindahkan semua wang simpanan, wang ganjaran pencen serta wang daripada pinjaman bank ke akaun tersebut atas alasan untuk tujuan siasatan.

“Mangsa akur dengan arahan tersebut kerana bimbang berdepan tindakan undang-undang,” jelasnya.

Beliau berkata, dalam tempoh antara 20 Februari hingga 5 Mei lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 24 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM216,067 sebelum menyedari dirinya ditipu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!