Guru wanita rugi RM226,400 ditipu sindiket ‘phone scam’

Seorang guru wanita mengalami kerugian RM226,400 selepas terpedaya dengan taktik licik sindiket penipuan ‘phone scam’. Gambar hiasan (Gambar kecil: Yahaya)
Seorang guru wanita mengalami kerugian RM226,400 selepas terpedaya dengan taktik licik sindiket penipuan ‘phone scam’. Gambar hiasan (Gambar kecil: Yahaya)
A
A
A

KUANTAN – Seorang guru wanita mengalami kerugian RM226,400 selepas terpedaya dengan taktik licik sindiket penipuan ‘phone scam’.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, nasib malang menimpa mangsa berusia 38 tahun itu berlaku selepas dia menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) 15 November tahun lalu.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket penipuan wang haram.

"Seperti biasa panggilan itu kemudian disambungkan kepada 'pegawai polis' untuk tindakan selanjutnya.

" Mangsa diarahkan membuat pemindahan wang kononnya bagi tujuan siasatan Bank Negara (BNM) berkait kes dihadapinya itu," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Yahaya berkata, bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa akur dengan arahan suspek apabila menggunakan wang simpanan untuk membuat 21 transaksi pemindahan wang kepada suspek melalui tiga akaun bank berbeza dalam tempoh 4 hingga 16 Disember tahun lalu.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa menyedari telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Pekan," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali terutamanya melibatkan arahan pemindahan wang atau pengesahan maklumat peribadi.

"Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!