Dua lelaki rugi lebih RM1 juta diperdaya penipuan pelaburan dalam talian

Dua lelaki di Pulau Pinang kerugian lebih RM1.1 juta akibat penipuan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi tetapi tidak dapat dikeluarkan. Gambar hiasan
Dua lelaki di Pulau Pinang kerugian lebih RM1.1 juta akibat penipuan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi tetapi tidak dapat dikeluarkan. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN – Seorang pesara swasta kerugian sebanyak RM827,120 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa, lelaki tempatan berusia 55 tahun itu, tampil membuat laporan pada Khamis lalu selepas menyedari telah ditipu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi menerusi aplikasi Facebook pada awal April lalu.

"Susulan itu, mangsa mula berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp sebelum diminta memuat turun aplikasi Freeman Ltd dan membuat pelaburan di platform tersebut.

"Dalam tempoh antara 19 April hingga 26 Mei lalu, mangsa telah melakukan 22 transaksi pindahan wang ke dalam enam akaun bank berbeza yang diberikan suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Hamzah berkata, skim pelaburan itu menjanjikan pulangan sebanyak tujuh peratus bagi setiap modal yang dilaburkan dalam tempoh masa yang singkat.

Bagaimanapun, katanya, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila tidak dapat membuat pengeluaran keuntungan seperti dijanjikan dalam aplikasi berkenaan yang memaparkan nilai mencecah RM23.2 juta.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu," ujarnya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang bekas juruteknik kilang kerugian RM321,250 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang ditawarkan melalui aplikasi Demax Global.

Artikel Berkaitan:

Hamzah berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun yang mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan bermula Disember tahun lalu.

"Pada Disember 2024, mangsa telah melihat satu iklan pelaburan yang menawarkan pulangan sehingga 30 peratus melalui aplikasi Instagram.

"Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp yang memperkenalkan pelaburan tersebut," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi Demax Global serta membuat pelaburan sebanyak RM200,000 pada 21 Mac lalu.

Katanya, tidak lama selepas itu, mangsa menerima pulangan sebanyak RM14,150 dalam tempoh tiga bulan.

"Teruja dengan pulangan tersebut, mangsa membuat 11 lagi transaksi antara 27 Mac hingga 3 Jun lalu ke dalam empat akaun berbeza milik syarikat lain yang terlibat.

"Namun, mangsa mula curiga apabila tidak dapat mengeluarkan keuntungan RM280,000 seperti yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan.

"Suspek meminta mangsa membuat bayaran caj pengeluaran RM120,000. Walaupun mangsa mencadangkan agar caj tersebut ditolak terus daripada akaun pelaburannya, suspek mendakwa itu tidak dibenarkan dan terus mendesak bayaran tambahan," katanya lagi.

Mangsa akhirnya menyedari dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!