Sindiket penyeludupan migran Wakaf Che Yeh tumpas

PATI yang masuk ke negara ini secara haram dan ditahan di kawasan parkir. - Foto: Imigresen
PATI yang masuk ke negara ini secara haram dan ditahan di kawasan parkir. - Foto: Imigresen
A
A
A

KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan migran yang dipercayai menjadikan sebuah hotel di Wakaf Che Yeh di sini sebagai transit sebelum membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditumpaskan dalam satu operasi khas, awal pagi Jumaat.

Dalam serbuan kira-kira jam 7.05 pagi itu, seramai 27 PATI termasuk seorang lelaki warga Myanmar berusia 31 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket diberkas dalam Ops Serkap yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi hasil risikan itu digerakkan oleh 11 pegawai penguat kuasa yang melakukan pemantauan bermula di kawasan letak kereta belakang sebuah hotel di Jalan Kuala Krai, Mukim Padang Enggang, Wakaf Che Yeh.

Menurutnya, pasukan operasi mengesan beberapa kenderaan mewah yang dipercayai akan digunakan untuk mengangkut PATI ke luar Kelantan sebelum bertindak menyerbu lokasi berkenaan.

Kumpulan PATI yang ditahan imigresen dalam serbuan di Kota Bharu. - Foto: Imigresen
Kumpulan PATI yang ditahan imigresen dalam serbuan di Kota Bharu. - Foto: Imigresen

“Ketika serbuan dilakukan dalam keadaan masih gelap, beberapa PATI serta pemandu kenderaan cuba melarikan diri dan bertindak agresif, namun berjaya ditahan.

“Hasil tangkapan awal, seramai 20 warga Myanmar terdiri daripada 12 wanita dan lapan lelaki berusia antara 17 hingga 40 tahun diberkas di kawasan parkir hotel,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, hasil keterangan PATI mendapati mereka mengaku baharu memasuki negara ini secara haram melalui jalan laut.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pemeriksaan lanjut dengan kerjasama pihak hotel membawa kepada penahanan lima lagi lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 36 tahun di dalam sebuah bilik.

Kenderaan yang digunakan untuk mengangkut PATI. - Foto: Imigresen
Kenderaan yang digunakan untuk mengangkut PATI. - Foto: Imigresen

“Kesemua mereka mengaku sedang menunggu ejen untuk membawa mereka menyeberangi sempadan bagi pulang ke negara asal.

“Turut ditahan dua lelaki warga China berusia 32 tahun yang ditemui bersembunyi di sebalik timbunan kotak di bumbung hotel berkenaan,” katanya.

Nik Akhtarulhaq berkata, empat kenderaan turut disita untuk siasatan lanjut iaitu Proton X90, Honda HR-V, Nissan Serena dan Perodua Aruz yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengangkutan PATI.

Menurutnya, semua 27 PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa dokumen sah, manakala lelaki warga Myanmar yang dipercayai dalang sindiket disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Kesemua yang ditahan bersama kenderaan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Kejayaan ini sebagai peringatan jelas bahawa JIM Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan melindungi atau menyeludup PATI,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan tersebut secara berterusan.

Ringkasan AI

  • Sindiket penyeludupan migran yang menggunakan hotel di Wakaf Che Yeh sebagai transit ditumpaskan
  • Seramai 27 PATI termasuk dalang utama diberkas dalam Ops Serkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan
  • Operasi bermula dengan pemantauan di kawasan parkir hotel dan mengesan kenderaan mewah
  • 27 PATI daripada Myanmar dan China ditahan, mengaku memasuki negara secara haram melalui jalan laut dan menunggu ejen untuk pulang
  • Empat kenderaan disita dan semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!