Takut ditangkap, peniaga rugi RM1.28 juta kena tipu 'phone scam'

Mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali pada 2 Disember lalu. Foto hiasan
Mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali pada 2 Disember lalu. Foto hiasan
A
A
A

IPOH - Takut ditangkap kononnya terlibat aktiviti pengubahan wang haram, seorang peniaga kerugian lebih RM1.28 juta selepas terpedaya sindiket ‘phone scam’.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, kejadian berlaku selepas wanita berusia 45 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali pada 2 Disember lalu.

Menurut beliau, suspek mendakwa akaun bank mangsa telah disekat akibat tunggakan hutang kereta sebelum menyambung panggilan kepada pihak bank.

"Mangsa kemudian dihubungi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengatakan terlibat dengan pengubahan wang haram.

"Kerana takut, mangsa mengikut segala arahan yang diberi dengan membuat tujuh kali pendahan wang bermula 3 Disember hingga 10 Februari lalu ke dalam tiga akaun berbeza melibatkan keseluruhan RM1,285,230," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mohamad Sajidan berkata, mangsa dimaklumkan bahawa dia akan dihubungi semula untuk pemulangan wang.

"Namun tiada sebarang panggilan diterima selepas itu. Mangsa menyedari ditipu selepas menceritakan kepada rakannya mengenai kejadian tersebut.

"Laporan diterima pada Rabu dan hasil siasatan mendapati kesemua wang tersebut merupakan hasil simpanan peribadi dan perniagaannya," katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!