SST buah import lonjak industri buah-buahan tempatan - LPNM

Sheikh Umar
Sheikh Umar
A
A
A

JOHOR BAHRU[DIKEMAS KINI] Pelaksanaan Skim Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus ke atas semua buah-buahan import menerusi Belanjawan 2025 bakal membuka peluang besar kepada pengukuhan industri buah-buahan tempatan di Malaysia.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, langkah Kerajaan Persekutuan itu bukan sahaja mampu meningkatkan hasil negara, malah memberi nafas baharu kepada pembangunan industri nanas negara.

Menurutnya, sebagai antara komoditi buah-buahan utama negara, nanas mempunyai potensi besar untuk meraih manfaat secara langsung daripada peluasan cukai berkenaan.

“Pengenalan SST ini dijangka mendorong peralihan pengguna ke arah buah-buahan tempatan. Permintaan terhadap nanas, khususnya varieti premium seperti MD2, bakal meningkat dengan ketara.

“Kesannya, pekebun dan pengusaha tempatan berpeluang memperluas kawasan tanaman serta meningkatkan pengeluaran,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan, cukai jualan sebanyak lima peratus akan dikenakan ke atas buah-buahan import di bawah rejim SST yang diperluas dan bakal berkuat kuasa bermula 1 Julai ini.

Tambah beliau, peningkatan permintaan juga akan memberi impak positif terhadap harga ladang dan pasaran serta memberi pulangan lebih baik kepada pengusaha kecil, usahawan tani muda dan koperasi pertanian.

Ujarnya, perkembangan pasaran domestik turut dijangka merangsang sektor hiliran termasuk pemprosesan jus nanas, makanan ringan berasaskan nanas dan produk kosmetik.

Selain itu, katanya, lonjakan permintaan turut berpotensi menarik pelaburan baharu dalam teknologi pertanian, logistik, pusat pengumpulan dan pembungkusan yang lebih efisien, khususnya di negeri pengeluar utama seperti Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Artikel Berkaitan:

“Rantaian nilai ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan nilai eksport negara. Ia turut memberi kelebihan daya saing kepada produk tempatan berbanding buah import dari segi harga dan kualiti.

“Ia juga menyemai semangat kebanggaan rakyat terhadap produk Malaysia yang berkualiti dan selamat dimakan,” ujarnya.

Tambah beliau, perkembangan positif dalam industri nanas ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada agenda sekuriti makanan negara dengan mengurangkan kebergantungan terhadap import serta meningkatkan tahap sara diri dalam pengeluaran buah-buahan.

Pada masa sama, katanya, kesan cukai terhadap pengimport tidak begitu ketara kerana nilai Ringgit Malaysia yang kukuh ketika ini memberi kelebihan dalam urusan dagangan mata wang asing.

"Dalam hal ini, LPNM komited menjalin kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, agensi berkaitan, pelabur swasta dan golongan belia untuk memastikan industri nanas negara terus berkembang secara mampan.

“Pengguna juga diseru menyokong buah-buahan tempatan demi memperkasa ekonomi domestik, gaya hidup sihat dan sekuriti makanan negara,” jelasnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!