SST buah import dibimbangi jejaskan gaya hidup sihat rakyat Malaysia - Jimmy Puah

JOHOR BAHRU – Perluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus ke atas semua buah-buahan import yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Julai ini dibimbangi akan menjejaskan gaya hidup sihat rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, langkah tersebut boleh menyebabkan buah-buahan import menjadi semakin mahal dan sukar diperoleh oleh rakyat kebanyakan yang menjadikan buah sebagai sebahagian daripada amalan diet seimbang.
“Kenaikan harga buah import dibimbangi akan mengehadkan kemampuan golongan B40 dan M40 untuk mendapatkan buah-buahan yang pelbagai dari segi kandungan vitamin, nutrien, mineral dan serat penting dalam diet harian.
“Bukan hendak menafikan kualiti buah-buahan tempatan, namun dengan memberikan lebih banyak pilihan buah pada harga yang munasabah kepada rakyat Malaysia, ia dapat menggalakkan mereka terus mengamalkan pemakanan seimbang dan sihat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, terdapat beberapa jenis buah import yang tidak mempunyai pengganti setara dalam pasaran tempatan, sama ada dari segi rasa, tekstur mahupun kandungan nutrisinya.
Jimmy berkata, rakyat Malaysia memahami keperluan kerajaan untuk menambah dan mempelbagaikan hasil negara, namun dalam konteks makanan asas seperti buah-buahan, dasar tersebut wajar dikaji semula atau sekurang-kurangnya ditangguhkan.
“Pada hari ini, buah-buahan import seperti anggur, epal dan oren tidak lagi dianggap sebagai barangan mewah, sebaliknya menjadi keperluan asas dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia untuk mencapai diet yang seimbang.
“Ini penting agar tidak menimbulkan kesan negatif terhadap kos sara hidup dan tahap kesihatan awam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

