'Tiga kali buat pengecaman, ujian cap jari baru dapat sahkan jenazah itu anak saya'

BESUT - Bapa kepada salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding pada Isnin, mengakui terpaksa membuat tiga kali pengecaman terhadap jasad anaknya sebelum dapat mengesahkan identiti mangsa.
Rosdi Yunus, 56, berkata. dua percubaan awal untuk mengecam jenazah anaknya, Fakhrul Arif, 20, gagal disebabkan keadaan fizikalnya yang tidak dapat dikenal pasti.
“Pengecaman pertama dilakukan melalui gambar sekitar jam 12 tengah hari, namun saya tak pasti. Kali kedua, saya diminta membuat pengecaman secara fizikal berdasarkan pakaian pada jam 3 petang, tetapi saya masih tak dapat mengecam.
“Akhirnya, saya diminta menjalani ujian cap jari dan apabila keputusan keluar, memang sah itu anak saya. Saya terima dengan reda,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Akar, di sini awal pagi Selasa.
Jenazah Fakhrul Arif selamat dikebumikan pada jam 4.30 pagi selepas disolatkan di Masjid Hadhari bersama 12 lagi jenazah rakan-rakan pelajar UPSI yang turut terkorban.
Menurut Rosdi, pada awalnya, dia sekeluarga merancang untuk membawa jenazah pulang ke rumah terlebih dahulu, namun terpaksa membatalkan niat itu berikutan keadaan jenazah yang tidak mengizinkan.
“Masjid Hadhari menjadi lokasi terakhir arwah berkumpul sebelum menaiki bas untuk kembali ke kampus. Hari ini (Isnin), masjid itu juga menjadi tempat terakhir mereka sebelum masing-masing dikebumikan di kampung halaman,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan luar biasa masyarakat yang hadir memberi penghormatan terakhir, termasuk yang menunggu di sepanjang laluan jenazah.
“Kami amat terharu dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan moral kepada kami sekeluarga,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
