Berpada-pada hasilkan kandungan media sosial, jaga perasaan keluarga

SINTOK – Tindakan segelintir individu menghasilkan kandungan sensitif melibatkan kemalangan di Jalan Gerik-Jeli yang mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) boleh melukakan hati keluarga mangsa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegur tindakan tersebut kerana keluarga mangsa ketika ini sedang meratapi kehilangan insan tersayang.
Menurutnya, masyarakat diingatkan agar lebih berhemah dalam menghasilkan kandungan berkaitan kejadian tersebut.
“Saya minta sebaik mungkin kita berikan ruang kepada keluarga mangsa. Saya ada lihat kandungan yang dihasilkan dan kita perlu berpada-pada.
“Ada satu kandungan dibuat dalam bas terlibat dan walaupun mesejnya takziah, ia tetap berlaku di lokasi kemalangan yang masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1 pagi pada Isnin melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli.
Terdahulu, Fahmi hadir merasmikan Forum Siber, Suara dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media Dalam Era Digital di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.
Hadir sama Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong dan Timbalan Naib Canselor UUM, Ahmad Martadha Mohamed.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, insiden kemalangan itu dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan laporan penuh pihak berwajib.
“Kita akan tunggu maklumat rasmi terlebih dahulu. Kalau ada keperluan dari segi penguatkuasaan, kita akan ambil tindakan selepas perbincangan esok,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjaga adab ketika mengulas atau berkongsi mengenai tragedi yang menyentuh hati rakyat itu di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

