Pemandu bas ada 18 saman, 13 daripadanya kesalahan pandu laju - Polis

Siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik. Gambar kecil: Mohd Yusri Hassan Basri
Siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik. Gambar kecil: Mohd Yusri Hassan Basri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 18 saman pernah dikeluarkan terhadap pemandu bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada 18 saman dikeluarkan itu, sebanyak 13 saman dikenakan atas kesalahan memandu laju.

Beliau berkata, tiga kesalahan lain yang dikenakan saman adalah tidak memakai tali pinggang keledar, manakala satu kesalahan lain masing-masing iaitu tiada lampu brek ketiga dan terlibat dalam kemalangan.

"Siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik.

"Bagaimanapun 16 rekod saman ke atas bas terbabit sudah dijatuh hukum, manakala baki lima saman masih dalam siasatan," katanya pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan PDRM akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan membabitkan bas sewa khas pelajar UPSI tersebut.

Mohd Yusri dilaporkan berkata, PDRM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas itu secara menyeluruh.

"Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita mendakwa pemandu bas terbabit di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut dari segi rekod kesalahan, latar belakang, kegiatan dan kerjaya dia sebelum ini secara sepenuhnya," ujarnya.

Dalam kejadian tragis pada Isnin, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia manakala tujuh mengalami cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan jam 1.15 pagi.

Bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu dipercayai hilang kawalan, sebelum melanggar belakang kenderaan jenis Perodua Alza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!