Nahas 15 pelajar UPSI maut: 'Saya minta maaf, brek tidak berfungsi' - Pemandu bas

Pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle kini dirawat di hospital.
Pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle kini dirawat di hospital.
A
A
A

KOTA BHARU - "Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada semua pelajar dan keluarga mangsa yang terlibat, brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba".

Demikian luahan pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, dalam nada sebak ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau yang berpengalaman memandu bas sejak 2016 ialah pemandu yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli-Gerik, Perak pada Isnin.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan keluarga mangsa.

"Jika ada pihak yang ingin mengambil tindakan undang-undang, saya hendak cakap apa lagi.

"Saya cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar.

"Saya cuba mengelak kenderaan lain supaya tidak merempuh mereka dan seingat saya, empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian," katanya yang kini dirawat di Hospital Taiping.

Mohd Amirul Fadhil memberitahu, kenderaan terakhir yang dia potong adalah kereta yang mempunyai 'dashcam'.

Artikel Berkaitan:

Keadaan bas persiaran yang membawa pelajar UPSI sehingga meragut 15 nyawa dalam kejadian awal pagi Isnin.
Keadaan bas persiaran yang membawa pelajar UPSI sehingga meragut 15 nyawa dalam kejadian awal pagi Isnin.

Ujarnya, ketika itu dia sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.

Menurut dia, melalui rakaman tersebut orang nampak bas yang dipandu memotong dan dibawa laju.

"Sedangkan sebelum itu saya cuba mengelak daripada melanggar kenderaan lain.

"Oleh sebab nahas berlaku di kawasan selekoh, saya tak mampu berbuat apa-apa. Saya menjerit kepada pelajar supaya bersedia dan berjaga-jaga sebaik menyedari brek bas tidak berfungsi," katanya.

Menurut dia, pelajar yang duduk di kerusi depan mungkin dengar arahannya tetapi yang berada di belakang kebanyakannya tidur.

"Mungkin jeritan itu menyebabkan mereka menyangka saya sedang marah.

"Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak berfungsi sejauh lebih satu kilometer dan sebagai pemandu bas, saya cuba mengelak kemalangan.

"Saya tidak laju seperti yang tular kerana saya arif dengan laluan Jeli-Gerik, lebih-lebih lagi lokasi kejadian menuruni bukit," katanya sambil menahan sebak.

Mohd Amirul Fadhil memberitahu, nahas tersebut menyebabkan dia pengsan seketika sebelum sedar dan menjerit meminta pelajar keluar menerusi cermin hadapan bas yang pecah.

Dia merangkak keluar dan menangis melihat keadaan semua pelajar.

"ALLAH uji saya dengan kemalangan berat ini.

"Ini pertama kali saya terbabit dalam kemalangan mengorbankan nyawa dan sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah," katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!