Bank Rakyat sumbang daging korban kepada lebih 20,000 masyarakat Islam di Kemboja

Nor Haimee (tengah) bergambar bersama penduduk Kampung Trapenh Prinh sebelum memulakan ibadah korban pada Sabtu.
Nor Haimee (tengah) bergambar bersama penduduk Kampung Trapenh Prinh sebelum memulakan ibadah korban pada Sabtu.
A
A
A

KAMPOT, KEMBOJA - Bank Rakyat menyumbang daging korban kepada lebih 20,000 masyarakat Islam menerusi program Kembara Qurban Kemboja 2025 sempena sambutan Aidiladha pada Sabtu.

Sebanyak 45 lembu korban dan diagihkan kepada komuniti penduduk di beberapa perkampungan termasuk di Kampung Keh dan Trapenh Prinh.

Nor Haimee
Nor Haimee

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, ia disumbangkan pendeposit Akaun Simpanan-i Tabung Qurban bagi pelaksanaan ibadah korban di dalam dan luar negara.

"Di tapak Maahad Imam Syafi'e, Kampung Keh, kita sembelih 36 lembu manakala sembilan lagi di Kampung Trapenh Prinh.

"Untuk lokasi (Kampung Keh) sahaja, lebih kurang 1,000 keluarga menerima agihan daging korban.

"Jika satu keluarga purata isi rumah terdiri daripada tujuh hingga lapan orang, maka sekitar 7,000 hingga 8,000 orang mendapat manfaat program ini,” katanya kepada petugas media di Maahad Imam Syafi'e, Kampung Keh pada Sabtu.

Petugas Bank Rakyat bersama penduduk kampung menyembelih salah satu lembu korban di Kampung Trapenh Prinh pada Sabtu. (Boleh kaburkan gambar lembu itu disembelih jika perlu)
Petugas Bank Rakyat bersama penduduk kampung menyembelih salah satu lembu korban di Kampung Trapenh Prinh pada Sabtu. (Boleh kaburkan gambar lembu itu disembelih jika perlu)

Selepas aktiviti korban dijalankan di kedua-dua kampung berkenaan, petugas sukarelawan dengan bantuan penduduk tempatan mengagihkan lebih 3,500 kilogram daging kepada penduduk di beberapa kampung sekitar Kampot.

Artikel Berkaitan:

Antaranya Kampung Samraong, Triek, Kandal, Kebal Romeah, Beung Tarong dan Kampung Prey Thnong.

Ujar Nor Haimee, Bank Rakyat juga menyumbang pek beras 10 kilogram (kg) kepada keluarga Islam di Kampung Swai Relom pada Ahad.

Nor Haimee (kanan) bergambar bersama salah seorang penerima daging korban di Kampung Samraong, Kampot pada Sabtu.
Nor Haimee (kanan) bergambar bersama salah seorang penerima daging korban di Kampung Samraong, Kampot pada Sabtu.

"Pada tahun ini selain melaksanakan agihan daging korban, Bank Rakyat bersama rakan strategik turut menyalurkan bantuan makanan asas kepada 150 keluarga di Kampung Swai Relom, Wilayah Kandal.

"Setiap keluarga menerima 10kg beras sebagai sebahagian inisiatif kemanusiaan ini," ujarnya.

Kos perbelanjaan cecah RM1.5 juta

Menurut Nor Haimee, kos keseluruhan perbelanjaan program tersebut mencecah RM1.5 juta.

"Misi ini mencerminkan keprihatinan pendeposit kami yang mahu melihat ibadah korban mereka sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

"Kami berharap program seperti ini dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan minoriti Islam di Kemboja pada masa hadapan supaya lebih ramai dapat menerima manfaat," katanya.

Tambahnya, rakan strategik bagi program tersebut terdiri daripada Maahad Imam Syafi'e Kampung Keh, Pusat Wakaf Endowmen Zakat Khairat dan Sedekah (WEZAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yayasan As-Syafi’e dan Persatuan Amal Shafi'e di Kemboja.

“Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap usaha memakmurkan masyarakat setempat kerana keteguhan kami adalah berkat sokongan anggota dan pelanggan dari setiap pelusuk negara.

"Lebih-lebih lagi ketika musim perayaan ini adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk saling membantu dengan berkongsi rezeki dan mengeratkan ukhuwah sesama kita,” katanya.

Ujarnya, pelanggan berminat melanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat menerusi talian 1300-80-5454.

"Pelanggan juga boleh layari laman sesawang www.bankrakyat.com.my dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat terdekat untuk maklumat lanjut," katanya.

Penduduk kampung masak hidangan tradisi guna daging korban.

Zakaria
Zakaria

Sementara itu, Mudir Maahad Imam Syafi'e, Zakaria Adam, 40, berkata misi Kembara Qurban Kemboja 2025 kali ini memberi banyak manfaat kepada komuniti Islam Kemboja sempena Aidiladha.

Ujarnya, kebanyakan mereka jarang menikmati daging lembu, malah hanya dapat dihidangkan setahun sekali bergantung kepada program sumbangan atau bantuan pihak luar seperti negara jiran.

"Masyarakat Islam di Kemboja kebanyakannya bekerja di kampung dengan pendapatan sekitar RM200 hingga RM500 sebulan. Oleh itu, pada mereka daging lembu ini dianggap makanan mewah.

"Jika tiada bantuan luar, memang ada yang langsung tidak dapat merasa daging sepanjang tahun," jelasnya.

Menurut Zakaria yang sudah lebih 12 tahun berkhidmat sebagai mudir, kebiasaannya penduduk menggunakan daging korban diberikan untuk memasak hidangan tradisi mereka seperti 'lembu naik bukit' atau dalam bahasa tempatan dikenali sebagai Kaw Leng Phnom.

"Hidangan ini seperti sup tetapi cara penyediaannya sangat unik iaitu dimasak menggunakan arang dan kayu api sebelum direneh bersama rempah ratus tempatan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!