Bank Rakyat teruskan Program BaktiRAKYAT di Tawau

BANK Rakyat meneruskan komitmen menyokong pembangunan masyarakat menerusi penganjuran Program BaktiRAKYAT di Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik Sabah, baru-baru ini.
Dalam kenyataan bank tersebut memaklumkan, antara aktiviti yang diadakan termasuk kerja pembersihan di sekitar kawasan dewan serbaguna, membaik pulih bumbung dan dinding serta mengecat bangunan bagi mewujudkan suasana persekitaran ceria dan kondusif.
"Usaha ini merupakan sebahagian komitmen berterusan Bank Rakyat dalam menyokong pembangunan masyarakat yang memerlukan dan memacu kelestarian alam sekitar di seluruh negara.

"Selain memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat, inisiatif ini juga sebagai tanda keprihatinan dan ihsan terhadap kesejahteraan masyarakat di samping menjadi simbolik penghargaan kepada sokongan serta keyakinan pelanggan kami selama ini," katanya pada Selasa.
Menurut bank berkenaan, aktiviti itu diadakan sempena Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang bakal dianjurkan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau bermula 9 Mei ini selain kesinambungan BaktiRAKYAT Wilayah Sabah 2025 yang mencatatkan 584 jam khidmat sukarela.
Program tersebut bertujuan membudayakan nilai kerjasama dan berperanan memupuk semangat berpasukan, mengikis sikap mementingkan diri serta kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan persekitaran dalam kalangan warga kerja.
Kampung Mentadak Baru yang dihuni 540 orang penduduk terletak kira-kira 45 minit perjalanan menggunakan bot dan feri dari Jeti Penumpang Tawau.
"Lebih 70 sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja Bank Rakyat dan komuniti setempat telah bersama-sama menjayakan program ini.
"Meskipun terpisah oleh lautan, kampung ini kekal aktif dengan pelbagai kegiatan ekonomi yang menyumbang kepada kelangsungan hidup penduduknya dengan dewan serbaguna berperanan penting sebagai pusat aktiviti riadah dan sosial penduduk setempat," menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

