Projek MyKiosk pacu pendapatan penduduk luar bandar - Rizam

Rizam (dua dari kanan) beramah mesra bersama pengunjung semasa Program Jualan Murah GRS,
Penyampaian Sumbangan Back to School dan Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau DUN Sungai Air Tawar di Astaka Rakyat Rumpun Selangor Bagan Nakhoda Omar pada Sabtu.
Rizam (dua dari kanan) beramah mesra bersama pengunjung semasa Program Jualan Murah GRS, Penyampaian Sumbangan Back to School dan Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau DUN Sungai Air Tawar di Astaka Rakyat Rumpun Selangor Bagan Nakhoda Omar pada Sabtu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Projek MyKiosk yang dilaksanakan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor disifatkan sebagai salah satu inisiatif penting kerajaan negeri dalam membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, khususnya di daerah Sabak Bernam.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri sedang memantau operasi MyKiosk agar ia dapat berfungsi secara maksimum dan memberi manfaat kepada mereka yang layak menjalankan perniagaan di situ.

"Setakat ini, MyKiosk yang ada di negeri ini termasuk di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam telah beroperasi dengan baik.

"Kita mahu semua MyKiosk ini benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat untuk menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jualan Murah Gagasan Rumpun Selangor (GRS), Penyampaian Sumbangan Back to School dan Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar di Astaka Rakyat Rumpun Selangor, Bagan Nakhoda Omar, pada Sabtu.

Rizam berkata, inisiatif tersebut diharap dapat memperkukuh ekonomi penduduk, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

"Kerajaan negeri amat komited membantu rakyat melalui pelbagai program, misalnya kita ada lebih 20 inisiatif termasuk program Jualan Rumpun Selangor, bantuan pendidikan dan program CSR (tanggungjawab sosial korporat) melibatkan anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar menegaskan bahawa semua usaha yang dilaksanakan membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan rakyat walaupun berdepan cabaran.

"Yakin dan percayalah, kesungguhan ini akhirnya akan dinilai oleh rakyat dan kerajaan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk membantu masyarakat,” tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rizam berkata, pelaksanaan serentak program ‘3 dalam 1’ yang dianjurkan itu membantu golongan berpendapatan rendah berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut beliau, seramai 300 pelajar menerima bantuan beg sekolah hasil sumbangan daripada Yayasan Tengku Zafrul Aziz (TZA), Yayasan Kolej Universiti Lincoln dan Yayasan Bank Rakyat.

"Setiap pelajar menerima RM100 sumbangan tunai daripada kerajaan negeri melalui MBI Selangor bagi meringankan beban persiapan ke sekolah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sumbangan bernilai RM3,000 telah diserahkan kepada 15 masjid dan 43 surau di DUN berkenaan.

"Sumbangan ini diharap dapat dimanfaatkan untuk penganjuran program keagamaan serta kelas ilmu di surau dan masjid masing-masing,” ujarnya.

Selain itu, Rizam berkata, Jualan Rumpun Selangor yang dianjurkan bersama Koperasi Negeri Selangor turut menarik perhatian ramai apabila menawarkan barangan segar seperti sayur-sayuran, ayam dan daging dengan harga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran biasa.

"Kita juga adakan Happy Hour selama satu jam, dengan potongan harga sehingga 30 peratus dan sebanyak 1,000 ekor ayam segar dijual pada hari ini,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!