Pengunjung kecewa perkelahan di pantai Teluk Senangin didakwa 'diganggu'

LUMUT – Keterujaan enam keluarga berkelah di Pantai Teluk Senangin di sini sempena cuti sekolah menjadi terganggu apabila ruang untuk mereka berehat didakwa dihalang oleh individu tertentu.
Mohd Ferro Hamilly Mohd Ali, 37, berkata, dia bersama ahli keluarganya dari Ampang dan Kampar tiba di pantai tersebut pada pagi Isnin untuk berkelah namun berdepan kesulitan apabila diminta menyewa meja dan kerusi bagi menggunakan kawasan di bawah pokok.
“Kami datang awal pagi dan cuba cari tapak teduh sebab datang ramai, ada enam kereta. Bila jumpa tempat sesuai, seorang lelaki datang beritahu kena sewa kerusi dan meja.
“Kami tak kisah, jadi kami pun sewa satu meja. Tapi lepas itu kami nak guna ruang yang ada di sekitar tempat duduk itu, lelaki tu kata tak boleh sebab kawasan itu milik dia. Katanya kerusi itu tak boleh dialih dan tak boleh duduk dekat kawasan itu. Situasi itu menyebabkan berlaku pertengkaran kecil,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Ferro berkata, pengalaman dialami itu amat mengecewakan kerana ketika kali pertama ke pantai peranginan itu tidak ada masalah sedemikian.
Jelasnya, keadaan itu menimbulkan persoalan kerana kawasan pantai tersebut merupakan lokasi awam yang seharusnya bebas digunakan pengunjung tanpa sekatan tidak munasabah.
“Kami bukan ambil barang orang pun, cuma nak duduk santai dengan keluarga. Tapi bila kerusi dan meja diletakkan di merata tempat, seolah-olah semua kawasan itu milik dia. Jadi kami yang datang nak berkelah pun jadi tak selesa dan rasa terganggu.
“Kali pertama saya datang ke sini dulu tak ada pun jadi macam ni, sekarang macam dah jadi kawasan persendirian pula,” luahnya.
Dia turut mengakui pengalaman tersebut merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh ahli keluarganya kerana kegembiraan bercuti itu tidak begitu dirasai.
Dalam pada itu, Mohd Ferro berharap pihak berkuasa tempatan atau agensi berkaitan dapat memantau situasi tersebut agar pengunjung tidak terus keliru dan terganggu ketika beriadah di kawasan pelancongan itu.
Kejadian tersebut turut dikongsi melalui aplikasi media sosial TikTok yang turut mendapat perhatian warganet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

