MPM siasat isu pengunjung kena sewa meja di pantai Teluk Senangin

IPOH - Majlis Perbandaran Manjung (MPM) akan menjalankan siasatan susulan berhubung dakwaan pengunjung diganggu individu tertentu ketika berkelah di pantai Teluk Senangin, Lumut.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kawasan pantai di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah bebas untuk dikunjungi tanpa sebarang bayaran.
“Saya difahamkan pihak MPM sedang menyiasat dakwaan tersebut sama ada benar terdapat caj tertentu dikenakan.
“Kebiasaannya, di kawasan seliaan PBT, kita tidak melantik pihak ketiga untuk mengutip apa-apa bayaran. Kita bimbang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, MPM mengulangi kenyataan bahawa tiada sebarang caj boleh dikenakan di Pantai Teluk Senangin, Lumut.
Menerusi satu perkongsian semula di Facebook, MPM memaklumkan bahawa Pantai Teluk Senangin merupakan kawasan peranginan yang terbuka untuk orang awam.
“Sehubungan itu, kami ingin menegaskan bahawa pihak MPM tidak mengenakan apa-apa caj untuk pengunjung yang ingin bersantai, caj tapak perkelahan, membentang tikar dan sebagainya.
“Pantai Teluk Senangin adalah hak milik awam dan harus dinikmati oleh semua tanpa sebarang bayaran tambahan,” menurut kenyataan tersebut.
MPM turut menasihatkan orang ramai supaya membuat aduan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengenakan sebarang caj kepada pengunjung.
Aduan boleh dibuat melalui Talian Hotline Aduan di 05-6898833, WhatsApp ke nombor 019-303 5800 atau emel ke aduan@mpm.gov.my.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan bahawa perkelahan enam keluarga di Pantai Teluk Senangin sempena cuti sekolah menjadi terganggu apabila ruang untuk mereka berehat didakwa dihalang oleh individu tertentu.
Seorang pengunjung, Mohd Ferro Hamilly Mohd Ali, 37, berkata, beliau bersama ahli keluarga dari Ampang dan Kampar tiba di pantai tersebut pada pagi Isnin untuk berkelah, namun berdepan kesulitan apabila diminta menyewa meja dan kerusi bagi menggunakan kawasan di bawah pokok di pantai berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

