Pantai Teluk Kemang kembali meriah

PORT DICKSON - Musim cuti sekolah memberi kelegaan buat peniaga di Pantai Teluk Kemang di sini apabila kawasan pelancongan popular itu kembali meriah dengan kehadiran pengunjung.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kawasan parkir pantai terbabit penuh dengan kenderaan selain kebanyakan hotel dan resort dilihat menerima sambutan menggalakkan.
Seorang peniaga pakaian, Adibah Hashim, 28, berkata, peniaga di situ kembali 'bernyawa' apabila musim cuti sekolah dan cuti umum.
"Jika hari biasa kita banyak mengharapkan orang datang berkursus atau pelancong luar negara saja.
"Bila cuti sekolah ini barulah pengunjung tempatan ramai dan biasanya ia meriah hingga senja," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, jika pada hari biasa ada peniaga memilih hanya membuka perniagaan pada hujung minggu kerana ketiadaan pengunjung tetapi tidak pada waktu cuti sekolah.
Katanya, seawal jam 8 pagi kawasan pantai terbabit sudah dikunjungi dan ia memberi sedikit kelegaan kepada peniaga.
"Kereta banyaklah, pantai penuh dengan pengunjung, cuma kuasa membeli sahaja kurang, tidak lagi macam dulu.
"Saya rasa ia mungkin disebabkan keadaan ekonomi sekarang. Jadi pengunjung hanya tertumpu kepada makanan saja dan macam kami peniaga pakaian ini ikut kepada rezekilah," katanya.
Ia turut diakui Aina Sufia Mohd Shairifuddin, 16 yang menjadi rutinnya setiap kali cuti sekolah untuk membantu makciknya berniaga makanan di situ.
Ujarnya, musim cuti sekolah walaupun singkat memberi harapan kepada peniaga untuk menambah pendapatan.
"Ini kedai makcik dan biasanya kalau waktu cuti sekolah saya akan membantunya.
"Kalau hari biasa memang pendapatan kurang, tapi bila cuti sekolah ini meriah sampai ke petang," katanya.
Peniaga, Sarihastika Hassanusi, 33, pula berkata, kedai ibunya hanya dibuka pada Sabtu dan Ahad serta cuti sekolah saja.
Ini kerana katanya, pada hari biasa kawasan pantai peranginan terbabit kurang pengunjung.
"Biasalah waktu orang bekerja, jadi tak ramai yang datang ke sini. Jadi kami hanya buka pada hujung minggu dan cuti sekolah saja.
"Bagi saya kehadiran pengunjung ke pantai ini sama saja dari dulu sampai sekarang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

