Orang Asli tinggal berhampiran kuari, diberi tempoh 7 hari pindah

Kar Hing (dua dari kiri) meninjau keadaan rumah penduduk yang usang di kawasan berhampiran sebuah kilang kuari, Simpang Pulai. Foto ihsan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gopeng
Kar Hing (dua dari kiri) meninjau keadaan rumah penduduk yang usang di kawasan berhampiran sebuah kilang kuari, Simpang Pulai. Foto ihsan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gopeng
A
A
A

GOPENG - Beberapa keluarga Orang Asli yang tular tinggal berhampiran kilang kuari dekat Simpang Pulai di sini, diberi tempoh selama tujuh hari bagi mempertimbangkan keputusan untuk pindah ke kawasan selamat.

Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, lawatannya ke kawasan penduduk terbabit mendapati rumah yang didiami mereka berada dalam keadaan usang dan dikelilingi persekitaran yang kotor.

Menurut beliau, lebih memilukan apabila terdapat seorang kanak-kanak dikurung dengan kakinya terikat dalam sebuah rumah.

"Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebelum ini telah beberapa kali turun padang menawarkan penempatan yang lebih selamat, lengkap dengan kemudahan asas dan akses kepada pendidikan namun, semuanya telah ditolak oleh keluarga terlibat.

"Kita juga percaya terdapat kanak-kanak lain tidak bersekolah dan hidup mereka seperti terbiar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Kar Hing berkata, pusat khidmatnya telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan kebajikan anak-anak terlibat tidak terabai.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jakoa diminta membuat laporan awal mengenai jumlah sebenar keluarga dan kanak-kanak yang terlibat.

"Kita juga meminta Jakoa menilai tapak alternatif dan keperluan dana untuk menyediakan penempatan baharu yang lebih selamat dalam kawasan perkampungan Orang Asli," katanya.

Tambah beliau, sekiranya keluarga terbabit masih berkeras tinggal di kawasan itu, pihaknya akan mengambil tindakan lanjut demi menjamin keselamatan dan kebajikan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

"Isu ini bukanlah semata-mata soal hak untuk tinggal sebaliknya ia menyentuh rasa tanggungjawab, keselamatan dan masa depan kanak-kanak tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!