Keperitan pelajar Orang Asli, tempuh 15 jam sebab jalan rosak

GUA MUSANG - Hujan sejak seminggu lalu dan tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membawa kenderaan dalam jumlah banyak masuk ke kawasan penempatan Orang Asli tanpa kebenaran dipercayai menjadi faktor utama menyumbang kepada kerosakan jalan di kawasan terbabit.
Ia dikatakan menjadi punca utama kepada pelajar di Pos Balar, Belatim terpaksa menempuh perjalanan lebih 15 jam untuk pulang ke rumah mereka sempena cuti sekolah.
Jurucakap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, situasi itu menyebabkan laluan masuk ke penempatan masyarakat berkenaan mengalami kerosakan sekali gus mengganggu pergerakan penduduk.
"Buat masa ini, laluan dari Kampung Kuala Suma ke Pos Bihai dan Pos Belatim termasuk dalam Projek Jalan Perhubungan Desa (Kuala Betis – Pos Bihai – Pos Belatim – Pos Balar – Pos Hau – Kuala Betis) sedang dalam pembinaan.
"Projek ini dijangka siap pada tahun 2028," katanya.
Menurut jurucakap JAKOA lagi, agensi itu sentiasa memantau pelaksanaan projek tersebut dan melarang segala aktiviti kemasukan ke kawasan Orang Asli tanpa kebenaran kerana bimbang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat Orang Asli.
Media semalam melaporkan, lebih 50 pelajar Orang Asli di Pos Balar dan Pos Belatim terpaksa menempuh 15 jam bagi perjalanan sejauh kira-kira 80 kilometer untuk pulang ke rumah sempena cuti sekolah apabila jalan ke perkampungan mereka rosak teruk akibat hujan sejak seminggu lalu.
Tujuh pikap membawa kumpulan pelajar itu perlu menempuh perjalanan dengan keadaan jalan berlumpur menyebabkan kenderaan tersekat beberapa kali.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang, berkata, difahamkan kumpulan pelajar terbabit bertolak dari Kuala Betis kira-kira jam 1 tengah hari Rabu dan tiba di Pos Balar jam 3 pagi pada Khamis lalu.
Katanya, kerana bimban keselamatan pelajar terbabit, golongan bapa mengambil inisiatif menunggu anak mereka di Kampung Peng, Pos Balar dan Kampung Chemal, Pos Belatim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!