AMCAF gesa tubuh Akta Suruhanjaya Perakaunan

Mohd Noh (dua dari kanan) bersama ahli AMCAF ketika
ditemui di Kompleks Karangkraf.
Mohd Noh (dua dari kanan) bersama ahli AMCAF ketika ditemui di Kompleks Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mewujudkan Akta Suruhanjaya Perakaunan Malaysia bagi memisahkan peranan Institut Akauntan Malaysia (MIA) sebagai usaha menjadikan profesion perakaunan negara lebih berdaya saing di masa akan datang.

Presiden Persatuan Akauntan Bertauliah Melayu (AMCAF), Mohd Noh Jidin berkata, akta dikawal selia badan bebas itu akan bertanggungjawab terhadap akreditasi, peperiksaan, pelesenan, penguatkuasaan dan pengiktirafan, sekali gus memberi lebih banyak ruang kepada MIA untuk fokus kepada pengurusan keahlian serta latihan profesional.

“Menerusi pendekatan ini, Malaysia dapat membangunkan sebuah sistem perakaunan lebih berdaya saing dan diiktiraf di peringkat global seperti model yang diamalkan di Singapura, Hong Kong dan Australia.

“Secara tidak langsung, MIA boleh memberi tumpuan untuk berfungsi sepenuhnya sebagai badan profesional yang memfokuskan kepada keahlian, latihan dan promosi bagi akauntan bertauliah.

“Ia harus bekerjasama rapat dengan badan penguatkuasaan antarabangsa seperti International Federation of Accountants (IFAC) serta mengukuhkan pendidikan perakaunan tempatan dengan menyediakan program pensijilan profesional setanding piawaian antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Malaysia kini berada di persimpangan kritikal dalam perkembangan profesion perakaunan ekoran masih belum mempunyai badan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Malah beliau mendakwa, terdapat gerakan yang mahu menarik balik pengiktirafan ijazah perakaunan di semua universiti tempatan, sekali gus akan memaksa pelajar memikul beban kewangan demi memperoleh kelayakan badan profesional luar negara seperti United Kingdon, Australia dan Singapura sebagai prasyarat keahlian MIA.

“Akta Akauntan 1967 yang selama ini memberi kuasa kepada MIA untuk mengawal selia profesion ini, sudah mula dipersoalkan.

“Banyak pihak mengkritik penggabungan penguatkuasaan dan pengurusan keahlian dalam satu badan sebagai tidak efektif, malah menambah beban kepada firma perakaunan tempatan dengan denda serta penggantungan lesen yang tidak wajar.

Artikel Berkaitan:

“Situasi ini kritikal kerana jika Malaysia terus menangguhkan pembaharuan, kita berisiko kehilangan peluang besar untuk mengembangkan profesion perakaunan yang mampan dan berdaya saing,” ujarnya.

Mohd Noh yang juga bekas Ahli Majlis MIA berpendapat, pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan dan profesional juga perlu melaksanakan pembaharuan bagi mengelakkan industri perakaunan tempatan menjadi tempat latihan dan lambakan bagi badan profesional luar negara.

“Dengan komitmen tinggi dari pihak kerajaan dan semua pihak berkepentingan, Malaysia dapat mencipta sebuah sistem perakaunan yang tidak hanya dihormati peringkat ASEAN, tetapi seluruh dunia.

“Sudah sampai waktunya untuk kita menyelamatkan dan membangunkan profesion akauntan negara," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!