Kerajaan disaran tangguh laksana semakan cukai eksais kereta

[DIKEMAS KINI] KERAJAAN disaran agar menangguhkan pelaksanaan semakan cukai eksais bagi nilai pasaran terbuka (OMV) ke atas kereta pemasangan tempatan (CKD) untuk tempoh tiga hingga lima tahun dari sekarang.
Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, dalam keadaan ekonomi yang lembab dan geopolitik tidak menentu, kerajaan perlu mengambil kira kemampuan pembeli, peluang pekerjaan dan kelestarian industri automotif negara secara keseluruhan.
Menurutnya, libat urus kerajaan bersama persatuan dan pemain industri haruslah diadakan dengan lebih kerap bagi memastikan sesuatu keputusan atau dasar itu dibuat dengan teliti serta mengambil kira pandangan semua pihak.
"Daripada menangguhkannya sehingga Januari 2026, adalah lebih baik sekiranya kerajaan meletakkan tempoh yang lebih lama.
"Hasrat kerajaan yang dikatakan mahu melaksanakan semakan cukai eksais itu bermula pada tahun 2026, menimbulkan tanda tanya sama ada kajian dan pertimbangan menyeluruh telah dijalankan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat
Sebelum ini, Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) menyatakan semakan semula terhadap duti eksais OMV akan menyebabkan harga purata naik antara 10 hingga 30 peratus untuk kenderaan bermotor CKD.
Tambah Lawrence, pandangan Presiden MACPMA, Chin Jit Sin ada asasnya apabila beliau mengatakan pengeluar kenderaan bermotor akan berhenti membuat pelaburan baharu serta-merta untuk mengeluarkan model kenderaan bermotor baharu di Malaysia.
Beliau berkata, sebaliknya hanya membawa masuk kenderaan import sepenuhnya (CBU) dari negara ASEAN atau Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) lain, memandangkan terdapat perbezaan kos yang kurang pada unit CBU berbanding kenderaan CKD.
"Kerajaan mungkin berharap untuk menambah pungutan cukai bagi mengisi kantung negara, namun kenaikan harga yang mendadak juga bakal melemahkan daya beli majoriti pengguna sehingga merencatkan industri automotif tempatan, seterusnya mengurangkan peluang pekerjaan.
"Memburukkan lagi keadaan, pengeluar automotif asing juga akan berasa sangsi untuk membuat pelaburan besar bagi mendirikan kilang kereta CKD di Malaysia dan ini pastinya merugikan negara di masa depan,"ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!