Razarudin mohon perintah komital kali ketiga terhadap Papagomo

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membenarkan permohonan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) buat kali ketiga terhadap blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Permohonan tersebut dibuat susulan penerbitan semula video permohonan maaf oleh Papagomo pada 30 April lalu yang berkaitan dengan kes saman fitnah berjumlah RM3 juta yang difailkan oleh Razarudin terhadapnya.
Kes tersebut turut melibatkan dakwaan berkait Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Raam Kumar yang mewakili plaintif dalam prosiding ex-parte (sebelah pihak).
“Mahkamah menetapkan pendengaran inter-parte (dua pihak) bagi prosiding komital tersebut pada 30 Jun ini dan kehadiran defendan adalah diwajibkan,” katanya.
Pada 26 Disember 2024, Razarudin memfailkan saman fitnah terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina dan tidak berasas, termasuk melabelnya sebagai ‘pelacur banduan terhormat’ serta ‘penjilat kepada Perdana Menteri’.
Kenyataan-kenyataan tersebut didakwa dimuat naik melalui video di platform YouTube, TikTok dan turut disebarkan melalui media sosial lain.
Razarudin turut memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi atau menerbitkan semula sebarang kenyataan fitnah terhadapnya, sama ada secara sendiri, melalui ejen atau mana-mana pihak lain.
Pada 31 Disember 2024 dan 10 Januari 2025, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ex-parte dan inter-parte oleh Razarudin, serta memerintahkan semua kandungan fitnah tersebut dipadamkan dari platform digital milik defendan, termasuk YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X (Twitter).
Selain itu, defendan juga diarahkan menarik balik video bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember 2024 yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap plaintif.
Pada 24 Januari 2025, Razarudin memfailkan permohonan pertama untuk prosiding komital terhadap Papagomo dan ia dibenarkan oleh mahkamah pada 10 Februari.
Susulan itu, pada 30 April, Papagomo mengemukakan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat kepada Razarudin.
Namun, pada 5 Mei, Razarudin memohon perintah komital kedua dengan dakwaan bahawa Papagomo tidak ikhlas apabila memuat naik satu lagi video di TikTok pada jam 8.30 malam, 1 Mei – sehari selepas permohonan maaf dibuat.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan bagi prosiding komital kali ketiga pada 15 Mei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

