Guna lagu ‘Maafkan Kami’, Papagomo seakan persenda permohonan maaf

KUALA LUMPUR – Tindakan blogger kontroversi, Papagomo menggunakan muzik lagu `Maafkan Kami' dari filem Pendekar Bujang Lapok, berhubung kenyataan permohonan maaf terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, tidak menunjukkan tanda penyesalan.
Peguam, Raam Kumar, yang mewakili Razarudin, 62, menghujahkan demikian dalam permohonan untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah kali kedua, terhadap Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Ia berhubung perlanggaran syarat permohonan maaf berhubung perintah injunksi yang dikenakan terhadapnya.
Raam berkata, video itu diterbitkan di laman YouTube, TikTok, X dan Telegram pada 30 April lalu, menggambarkan Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 42, tidak menyesal dan melakukannya tanpa niat yang baik.
Menurutnya, video itu menunjukkan Wan Muhammad Azri selaku defendan seakan-akan melawak dan tidak ikhlas memohon maaf.
“Ini merupakan perkara berkaitan mahkamah, tetapi pernyataan maaf itu berlatarbelakangkan muzik dan tidak langsung menunjukkan penyesalan.
“Defendan menjelaskan dia memohon maaf kerana tidak mahu ke penjara, bukan kerana dia melakukan kesalahan, jadi ini tidak ikhlas,” katanya.
Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Wan Muhammad Azri, memohon mahkamah menolak permohonan Razarudin selaku plaintif kerana ia tidak berlandaskan kepada prima facie.
Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan permohonan plaintif dan menetapkan pendengaran kes itu pada 30 Jun depan.
Mahkamah turut memerintahkan defendan memfailkan afidavit jawapan sebelum 23 Mei, manakala afidavit balasan pada 6 Jun dan hujahan bertulis sebelum 20 Jun.
Pada Rabu minggu lalu, Wan Muhammad Azri memohon maaf kepada Razarudin berhubung kenyataan berbaur fitnah ketika prosiding kes saman RM3 juta.
Dalam saman yang difailkan pada 26 Disember 2024, Razarudin menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, teruk atau teladan, serta khas.
Beliau turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara sendiri, melalui ejennya, atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata berunsur fitnah, serta daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!