Bicara saman fitnah Fahmi terhadap Papagomo, dua lagi bermula 2 Oktober

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menetapkan perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil terhadap tiga individu termasuk blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo bermula 2 Oktober depan.
Peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi selaku plaintif berkata, Hakim Roz Mawar Rozain telah membenarkan permohonan supaya ketiga-tiga kes saman berkenaan dibicarakan bersama.
“Mahkamah menetapkan 2 dan 3 Oktober untuk perbicaraan," kata peguam itu ketika ditemui di luar mahkamah.
Pada 5 September 2023, Fahmi memfailkan saman secara berasingan terhadap Wan Muhammad Azri; penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani dan pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’, Mohd Fauzan Madzlan selaku defendan.
Ia berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.
Prosiding berkenaan turut dihadiri peguam, Mohammed Zamri Ibrahim yang mewakili Mohd Fauzan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.
Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang didakwa oleh defendan.
Susulan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

