KPN dakwa Papagomo tidak ikhlas minta maaf, mohon dipenjara

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi pada Isnin supaya blogger kontroversi, Papagomo, dikenakan perintah komital dan dipenjara.
Razarudin, 62, membuat permohonan itu kerana mendakwa Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 42, telah menghina mahkamah buat kali kedua.
Beliau mengemukakan permohonan itu secara ex-parte atau sebelah pihak melalui firma guaman Tetuan KB Tan, Kumar & Partners.
Berdasarkan dokumen mahkamah, KPN selaku plaintif mendakwa lelaki itu gagal mematuhi perintah mahkamah supaya menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat kepada Razarudin dan mahkamah di platform YouTube, TikTok dan X sekurang-kurangnya selama tujuh hari.
Ia termasuk kegagalan memadam kenyataan berbaur fitnah bertarikh 14 Januari serta imej KPN yang telah disunting pada keesokan harinya.
Menurut dokumen tersebut, permohonan maaf yang dibuat Papagomo pada 30 April lalu di mahkamah terbuka bersifat tidak ikhlas dan tanpa penyesalan.
Razarudin berkata, ini kerana Wan Muhammad Azri selaku defendan dengan sengaja telah menerbitkan serta menyebabkan penerbitan satu video di aplikasi TikTok atas nama Papa Azri dan YouTube (Sir Azri), pada jam 8.30 malam, 1 Mei.
“Kenyataan defendan bertentangan dengan permohonan maaf yang dipersetujui dan dibacakan di mahkamah.
“Berdasarkan kenyataan yang disiarkan oleh defendan serta kegagalannya memadam video bertarikh 14 dan 15 Januari, jelas menunjukkan beliau telah melanggar Perintah Komital.
“Seterusnya, tindakan itu merupakan penghinaan kali kedua terhadap mahkamah,” kata pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.
Mahkamah menetapkan prosiding pendengaran permohonan itu pada Jumaat ini.
Pada Rabu minggu lalu, Wan Muhammad Azri memohon maaf kepada Razarudin berhubung kenyataan berbaur fitnah ketika prosiding kes saman RM3 juta di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong.
Dalam saman yang difailkan pada 26 Disember 2024, Razarudin menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, teruk atau teladan, serta khas.
Beliau turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara sendiri, melalui ejennya, atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata berunsur fitnah, serta daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!