'Maaf Tan Sri Razarudin kerana kenyataan berbaur fitnah' - Papagomo

KUALA LUMPUR – “Saya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, memohon maaf kepada Tan Sri Razarudin Husain kerana kenyataan berbaur fitnah”.
Demikian kata blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri, 42, atau lebih dikenali sebagai Papagomo di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu semasa prosiding kes saman RM3 juta yang difailkan Ketua Polis Negara (KPN) itu.
Razarudin selaku plaintif memfailkan saman tersebut berhubung kenyataan dikatakan berunsur fitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikeluarkan oleh Wan Muhammad Azri.
Mahkamah menerima permohonan maaf itu dengan syarat ia disiarkan di semua platform media sosial termasuk YouTube, TikTok, X, dan Telegram bermula Rabu, serta kekal disiarkan sekurang-kurangnya selama tujuh hari.
Prosiding yang dijalankan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, turut memerintahkan defendan memadamkan kenyataan dan gambar yang tular itu.
Beliau turut mengarahkan Wan Muhammad Azri selaku defendan membayar kos sebanyak RM5,000.
Semasa membaca permohonan maaf berkenaan, defendan berkata, “Saya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, dengan suci hati dan tanpa apa-apa syarat memohon maaf kepada mahkamah yang mulia ini, kepada KPN, Tan Sri Razarudin, atas penggunaan perkataan berunsur fitnah dan khianat.
“Terhadap plaintif pada terbitan bertarikh 14 Januari lalu serta penggunaan gambar KPN yang telah disunting pada keesokan harinya.
“Saya berjanji tidak akan mengulangi fitnah dan kata-kata kesat terhadap KPN serta akan memadamkan kenyataan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan Rabu sebagai tarikh prosiding pendengaran permohonan komital yang difailkan oleh KPN terhadapnya.
Pada prosiding itu, Razarudin tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Raam Kumar, sementara defendan diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Dalam saman yang difailkan pada 26 Disember 2024, Razarudin menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, teruk atau teladan, serta khas.
Beliau turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan, sama ada secara sendiri, melalui ejennya, atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata yang dianggap fitnah, serta daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!