Nahas FRU: Undang-undang sedia ada mencukupi siasat pemilik syarikat lori - Zahid

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, undang-undang sedia ada mencukupi untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemilik syarikat atau kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, Selasa lepas.
Beliau berkata, yang penting ialah pelaksanaan undang-undang tersebut perlu ditingkatkan secara tegas.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan itu telah direman selama empat hari dan siasatan dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Namun untuk tuan punya syarikat atau lori itu, siasatan akan dilakukan melalui Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) dan terletak di bawah Akta Pengangkutan Jalan.
"(Jadi) kita serahkan kepada pihak Kementerian Pengangkutan melalui JPJ dan Puspakom untuk melakukan siasatan," katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2024 di sini pada Khamis.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan untuk meminda undang-undang untuk membolehkan selain pemandu, pihak syarikat kenderaan yang terlibat dalam nahas jalan raya turut dipertanggungjawabkan.
Dalam kemalangan jam 8.50 pagi Selasa, sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak pasukan mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori yang membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!