Sultan Selangor titah tindakan tegas terhadap pemandu, syarikat cuai

Dalam kenyataan dikeluarkan di Facebook Selangor Royal Office, baginda menzahirkan rasa kesal kerana telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan jalan raya, terutamanya berkaitan kelemahan dalam penguatkuasaan serta sikap cuai pemandu dan syarikat pengendali kenderaan berat.
Titah baginda, hukuman lebih berat perlu dijadikan pengajaran kepada pemandu lain agar sentiasa berwaspada dan memberi tumpuan penuh semasa memandu.
"Sudah tiba masanya tindakan tegas diambil. Sekiranya pemandu atau syarikat didapati bersalah dan menjadi punca kepada kemalangan maut atau kecederaan parah, mereka bukan sahaja perlu didenda atau dipenjara, malah lesen memandu wajar ditarik balik," titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menggesa agar syarikat-syarikat pengangkutan menjalankan penilaian ketat terhadap pemandu dan kelindan yang diambil bekerja serta memastikan mereka bebas daripada sebarang masalah disiplin atau rekod buruk.
"Jangan ambil mudah aspek kondisi kenderaan dan kelayakan pemandu. Semua pihak perlu serius dalam hal ini dan tidak memandang ringan perkara-perkara yang boleh membawa kepada kecuaian," titah baginda.
Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut menzahirkan perutusan takziah kepada keluarga dan waris sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas ngeri di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu.
Baginda turut berharap dan berdoa agar tragedi seperti ini tidak akan berulang, khususnya yang melibatkan kehilangan nyawa insan tidak berdosa yang berkhidmat untuk keamanan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!