Nahas FRU: Empat anggota masih kritikal di ICU

Tiga daripada mereka sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan (HTI).
Tiga daripada mereka sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan (HTI).
A
A
A

TELUK INTAN - Empat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dalam nahas tragis membabitkan konvoi pasukan itu pada 13 Mei lalu masih dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan rapi di hospital.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, tiga daripada mereka sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan (HTI) manakala seorang lagi menerima rawatan di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Setakat ini, empat orang masih dirawat di ICU, seorang berada di wad biasa dan dalam keadaan stabil manakala dua lagi sudah dibenarkan pulang.

"Seorang anggota lagi yang cedera sudah dibenarkan keluar dari HTI dan akan dibawa ke kampung halamannya di Perlis dengan bantuan polis pengiring,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, penghantaran pulang anggota FRU berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab polis dalam menjaga kebajikan warga pasukan yang diuruskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

“Selepas mendapat pelepasan dari hospital pada jam 9.30 malam tadi, IPD Hilir Perak dengan kerjasama Medifa Care Teluk Intan telah menguruskan kemudahan tempat rehat untuk waris dan juga pengangkutan menggunakan ambulans swasta bagi membawa mangsa pulang ke rumah keluarganya di Jejawi, Arau, Perlis.

“Keadaan mangsa ketika itu tidak membolehkan beliau duduk sepanjang perjalanan, justeru ambulans diperlukan untuk memastikan keselesaan dan keselamatannya,” katanya.

Difahamkan, Muhammad Aniq Taufiq yang beralamat di kuarters FRU di Ipoh, dihantar pulang ke rumah ibu bapanya di Batu 3, Lorong Lebai Taib, Jejawi hari ini.

Artikel Berkaitan:

Bakri berkata, usaha itu merupakan sebahagian komitmen polis dalam menjaga kebajikan anggotanya yang ditimpa musibah terutama ketika bertugas.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.

Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTI sementara lapan lagi anggota mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!