'Kalau abang lumpuh tak sempurna, sayang jaga tak?'

KUALA LUMPUR – "Kalau abang lumpuh tak sempurna, sayang jaga tak orang cacat macam abang?".
Itulah pertanyaan menyentuh hati yang diluahkan Koperal Mohd Izwan kepada isterinya, Nor Diyana Nor Mohamad, 39, beberapa hari sebelum terbabit dalam kemalangan maut yang turut mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa.
Nor Diyana berkata, beberapa hari sebelum kejadian, suaminya sempat meluangkan masa bersamanya dan mengungkapkan kebimbangan sekiranya ditimpa kecacatan kekal.
"Dia juga ada bertanyakan kepada saya sama ada mahu menjaganya sekira menjadi orang kurang upaya.
"Pada Ahad lepas, Mohd Izwan juga sempat menyertai satu program larian di Pantai Remis, namun mengadu pening sejurus pulang ke rumah.
"Dia beritahu seperti nak muntah, macam kena goncang dalam kereta kotak. Saya beritahunya mungkin akibat tidak cukup tidur, tetapi apabila terjadi insiden ini mungkin itu petanda awal suami ditimpa kemalangan," katanya.

Menurutnya, kata-kata suaminya itu kini terngiang-ngiang dalam fikiran, seolah-olah satu petanda awal terhadap apa yang bakal berlaku.
Nor Diyana dan keluarganya hanya mampu berdoa dan terus berharap agar suaminya sedar serta kembali pulih.
Dalam kejadian pada 8.50 pagi Selasa, lori muatan batu kelikir bertembung dan merempuh trak yang membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.
Akibat kemalangan itu, sembilan anggota FRU yang menaiki trak berkenaan maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan dan sedang menerima rawatan.
Sembilan anggota yang terkorban ialah Sarjan S Perumal, 44, dari Lahat, Ipoh; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46, dari Tanjung Rambutan, Ipoh; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41, dari Gunung Rapat, Ipoh; Koperal P Nurit, 34, (Kampar) dan Koperal Amiruddin Zabri, 38, (Gopeng).
Empat lagi ialah Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38, dari Taiping; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, dari Kuala Kurau; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dari Ipoh dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, dari Lunas, Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
